Dot To Dot 3 Column

Tuesday 12 July 2011

Yang paling utama adalah otak

Soalan 1:

Saya banyak terbaca artikel mengenai mati pucuk di kalangan lelaki. Selain faktor kesihatan, ia dikatakan berpunca daripada faktor psikologikal. Bagaimana ia berlaku doktor?

* Helmi, Perak.

Saudara Helmi,

Saya bersetuju dengan kenyataan saudara bahawa mati pucuk atau disfungsi ereksi (ED) juga berpunca dari faktor psikologikal. Bahkan, sebelum ini faktor psikologikal dikatakan lebih kerap menjadi punca masalah tersebut berbanding faktor fizikal.

Bagaimanapun, sekarang kita sedia maklum kedua-dua faktor tersebut boleh berinteraksi dan menyebabkan keadaan ED lebih teruk dan mungkin lebih sukar untuk dirawat.

Doktor biasanya akan memastikan seseorang yang mengidap ED tidak mengalami masalah fizikal sebelum melabelkan beliau mengidap ED disebabkan oleh faktor psikologikal. Rawatan mungkin perlu melibatkan pasangan dalam memastikan rawatan yang lebih menyeluruh dan berjaya. Salah satu cara yang digunakan oleh doktor untuk membezakan faktor psikologikal dan faktor fizikal ialah dengan bertanyakan berkenaan 'nocturnal tumescence' yang bermaksud ketegangan zakar yang berlaku di malam hari atau di awal pagi. Bagi mereka yang mempunyai masalah ED disebabkan oleh faktor psikologikal, ketegangan akan tetap berlaku berbanding dengan pesakit yang mendapat ED disebabkan oleh faktor fizikal. Bagaimanapun, daripada pengalaman merawat pesakit-pesakit saya, maklumat berkenaan ketegangan zakar di malam hari atau awal pagi sahaja mungkin tidak begitu tepat dalam membezakan faktor fizikal dan faktor psikologikal. Kita perlu mendapatkan maklumat-maklumat kesihatan termasuk kesihatan seksual yang lain sebelum boleh membuat kesimpulan terhadap permasalahan yang dihadapi oleh pesakit ED. Faktor psikologikal boleh berlaku akibat stres dalam perhubungan suami-isteri, keluarga, rakan-rakan, masalah di tempat kerja, masalah kewangan dan sebagainya. Kita semua sedia maklum bahawa organ seks yang paling utama adalah otak dan bukannya zakar atau faraj. Fikiran yang tidak tenang akan merencatkan nafsu dan seterusnya melemahkan zakar kita. Penjagaan kesihatan fizikal, mental dan sosial amat penting dalam memastikan kesihatan seksual kita juga terjaga dan seterusnya menambahkan kualiti kehidupan kita, keluarga dan masyarakat.

Merokok jejaskan kesuburan

Soalan 3:


Saya seorang perokok tegar. Ramai yang menasihatkan saya khususnya rakan wanita supaya berhenti merokok. Benarkah rokok menjejaskan kesihatan lelaki khususnya tahap kesuburan kami?

* Lelaki sejati, Kelantan.

Saudara lelaki sejati,

Terima kasih di atas soalan. Ya, memang benar merokok menjejaskan tahap kesuburan lelaki. Ini berdasarkan kajian di seluruh dunia yang mengaitkan rokok dengan pengurangan kesuburan lelaki dan masalah disfungsi ereksi (ED). Di Universiti Sains Malaysia, kajian turut menunjukkan perkara yang sama terutamanya merencatkan pergerakan normal sperma. Jadi, adalah sangat baik jika anda berazam bersungguh-sungguh untuk berhenti merokok demi kesihatan fizikal dan seterusnya merangsang kesuburan saudara. Jumlah sperma di kalangan lelaki dikatakan menjadi semakin berkurangan dari tahun ke tahun. Ini disebabkan cara hidup kita yang tidak aktif dan ditambah dengan pemakanan yang tidak sihat contohnya makanan segera yang berlambak di pasaran. Seterusnya merokok memburukkan keadaan. Saya nasihatkan anda berjumpa dengan doktor di klinik-klinik kesihatan terutamanya yang menawarkan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok. Cuma, dari pengalaman saya mengendalikan klinik berhenti merokok beberapa tahun yang lalu, saya dapati faktor utama sama ada berjaya atau gagalnya saudara untuk berhenti merokok ialah keazaman dan motivasi yang tinggi. Terapi gantian nikotin atau ubat-ubatan lain hanyalah bantuan semasa ketagihan akibat kekurangan nikotin dalam badan. Selamat Berjaya. Semoga saudara akan dikurniakan zuriat yang ramai, InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive