Dot To Dot 3 Column

Wednesday 20 July 2011

Bahtera Nabi Noh

SELAMA tiga tahun, penduduk bandar lama Dordrecht, Belanda memerhatikan dengan penuh minat usaha seorang peniaga tempatan untuk merealisasikan impiannya membina semula bahtera Nabi Noh yang dipenuhi ribuan haiwan plastik - kini menjadi kenyataan.
Bahtera besar itu dibina di tebing Sungai Merwede, kira-kira 65 kilometer di selatan Amsterdam. Di sini, Johan Huibers, 52, bersama 50 pekerjanya memberi sentuhan akhir kepada bahtera kayu berkenaan. 
“Kami mahu beritahu semua orang mengenai kewujudan Tuhan. Kami mahu bina sesuatu yang dapat membantu menerangkan apa yang tertulis dalam kitab (Injil),” kata lelaki Belanda itu apabila ditanya mengapa dia melaksanakan projek pembinaan bahtera itu.

Pada awalnya Huiber merancang membuka bahtera berkenaan yang dipanggil ‘Muzium Injil’ kepada awam pada hujung tahun ini tetapi dia akan memberi peluang lawatan sehari untuk penduduk setempat hujung bulan ini.

Apa yang lebih mengagumkan ialah bahtera berkenaan dibina betul-betul mengikut ukuran lama seperti yang tercatat dalam Kitab Genesis, yang mengatakan bahtera itu sepanjang 300 hasta, 30 hasta tinggi dan 50 hasta lebar.

Jarak satu hasta ialah antara siku dan hujung hari atau lebih kurang setengah meter yang menjadikan bahtera berkenaan berukuran kira-kira 150 meter panjang, setinggi empat tingkat, 25 meter lebar dan beratnya mencecah 3,000 tan.

Huiber juga membina bumbung di atas bahtera berkenaan bagi melindungi 1,600 spesies haiwan plastik (yang dibuat mengikut saiz sebenar). Ia bertujuan memberi gambaran sebenar kisah bahtera Nabi Noh yang diperintahkan Tuhan untuk membina bahtera besar bagi menyelamatkan keluarga dan semua spesies haiwan sebelum bumi dilanda banjir besar.

“Saya gunakan kayu pain Sweden, sebab kami fikir ia paling hampir dengan ‘kayu resin’ seperti yang tercatat dalam Injil. Replika haiwan dibuat daripada plastik yang ditempah di Filipina,” katanya.

Bahtera itu dilengkapi kuarters bilik tidur, termasuk bilik tidur Nabi Noh, pentas, dewan, restoran dan kemudahan persidangan yang boleh menempatkan 1,500 orang pada satu masa. Malah, ia juga ada batu kisar untuk mengisar gandum yang digunakan bagi membuat roti. Selain itu dinding bahtera dilukis untuk menceritakan kisah bahtera berkenaan dan kisah lain yang tercatat dalam kitab Injil.

Tuesday 19 July 2011

Legasi bilionair Oleh Hazirah Che Sab

  
  • Foto
  • Foto
    Donald Trump dan anaknya, Ivanka. (RM5.9 bilion)
  • Foto
  • Foto
    Holly dan Richard Branson. (RM11.8 bilion)
  • Foto
Anak tauke besi, gedung fesyen dan hartanah kelompok terkaya dunia

MEREKA berbeza tapi berkongsi satu set persamaan yang meletakkan mereka di persada dunia dan menjadi subjek kepada lirikan iri jutaan wanita lain - rupa, gaya dan harta. Pakej lengkap impian ramai gadis lain tetapi cuma segelintir bertuah dilahirkan memiliki kejelitaan dan kekayaan yang tidak habis dimakan sehingga tujuh keturunan.
Mungkin pada asalnya kekayaan mereka bukan hasil titik peluh sendiri tetapi sumbangan dalam memastikan kemewahan itu berterusan secara tidak langsung membolehkan mereka menikmatinya.


Dalam senarai pewaris harta wanita terkaya dunia, Vanisha Mittal, menduduki tempat teratas carta dengan aset RM92.5 bilion. Anak hartawan India, Laksmi Mittal itu, mula diberi perhatian oleh media selepas bapanya memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM177 juta untuk majlis perkahwinannya pada tahun 2004.

Sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat keluli itu, Vanisha, memang berhak menikmati setiap sen yang masuk kantung poketnya tanpa perlu dilabelkan sebagai anak bapa yang cuma tahu menghabiskan wang.

Tempat kedua, berdasarkan nilai kekayaan bapanya adalah Marta Ortega PĂ©rez, 26. Gadis kelahiran Sepanyol itu bernilai RM92.2 bilion yang diperoleh daripada empayar peruncitan fesyen, Inditex, milik bapanya, Amancio Ortega Gaona. Malah, rangkaian gedung fesyen terkemuka itu termasuk Zara, Massimo Dutti, Oysho serta Zara Home dengan biloangan pekerjanya kira-kira 14,000 orang.

Bagaimanapun, kedua-duanya masih terlalu jauh untuk menandingi populariti yang diraih Ivanka Trump. Statusnya sebagai anak hartawan Amerika Syarikat, Donald Trump, saja sudah cukup meletakkannya dalam kelas tersendiri. 
Walaupun kekayaan yang bakal diwarisinya cuma RM5.9 bilion dan ketinggalan berbanding Vanisha, Ivanka, 28, namun dia kaya aset boleh berbangga dengan kejelitaan yang diwarisi daripada ibunya, Ivana. Malah dia lebih dulu mencipta nama sebagai model terkenal sebelum memutuskan untuk meneruskan legasi bapanya.

Memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi Eksekutif Pembangunan dan Perolehan Pertubuhan Trump, Ivanka juga salah seorang juri dalam rancangan realiti popular, The Apprentice yang terus menjadikannya dikenali dunia.

Seorang lagi yang menyerikan senarai itu dengan rupa dan hartanya ialah anak kesayangan hartawan kelahiran Britain, Holly Branson.

Walaupun berada di tangga ke-212 dengan aset bernilai RM11.8 bilion, Holly, 28, pada awalnya tidak berminat mengikut jejak langkah bapanya, Richard Branson, sebaliknya meneruskan pelajaran untuk menjadi doktor. Bagaimanapun, dia kemudian menukar fikiran dan menyertai empayar perniagaan Virgin yang banyak menyumbang kepada duit poketnya.

Anak hartawan Formula Satu, Bernard Ecclestone, juga tidak ingin dipandang cuma sebagai anak orang kaya sebaliknya mahu lebih serius mengembangkan empayar perniagaan sendiri.

Terikat pada kedudukan sama dengan Holly Branson, Tamara Ecclestone, 26, berusaha mengembangkan karier daripada model dan pengacara rancangan televisyen kepada ahli perniagaan yang memasarkan pakaian dalam dan produk rambut wanita.

Mewakili dunia Arab ialah Hind Hariri, anak kepada bekas Perdana Menteri Lubnan yang meninggal dunia dalam serangan bunuh diri, Rafik Hariri. Mewarisi kekayaan keluarga dengan aset bernilai RM4 bilion, Hind, 26, pernah tersenarai sebagai antara pewaris termuda oleh Forbes pada tahun 2008.

Mereka memang dianggap memiliki segala-galanya tetapi perlu diingat kerana kebebasan mereka cagaran. Pada ketika wanita lain bebas berada di mana-mana tanpa rasa bimbang diculik untuk mendapatkan tebusan, pewaris kekayaan itu perlu berfikir banyak kali untuk keluar daripada rumah tanpa diiringi segerombolan pengawal peribadi.

Jika setiap gerak-geri menjadi bahan perbualan dunia hatta cara berpakaian pun diambil kira, ada kalanya tidak mempunyai apa-apa mungkin lebih menyeronokkan.

INFO

Jejaka hartawan


TIDAK hanya diserikan dengan penampilan si hartawan jelita yang bijak tetapi dunia juga didiami ramai lagi hartawan muda yang rata-ratanya belum mencapai usia 40 tahun. Menariknya, ada di kalangan hartawan muda ini mengumpul kekayaan dengan mencipta sesuatu yang kemudian menjadi satu kepentingan dalam kehidupan orang ramai. Antara yang disenaraikan sebagai antara hartawan muda ialah: 

Mark Zuckerberg

Pada usia 26 tahun, pengasas Facebook itu dikatakan bernilai RM40 bilion. Zuckerberg memiliki 24 peratus saham laman web sosial itu. Dia kini memegang jawatan sebagai Ketua Eksekutif dan Presiden Facebook, yang diasaskan bersama tiga lagi rakan sekelasnya ketika belajar di Universiti Harvard pada tahun 2004.

Sergey Brin dan Larry Page

Brin, 35 dan Page, 36, berjumpa dalam satu program sains komputer di Universiti Stanford dan kini masing-masing bernilai RM35.6 bilion setiap seorang sebagai pengasas enjin pencarian terkenal, Google. Mereka keciciran daripada meneruskan pelajaran ke peringkat doktor falsafah pada tahun 1998 untuk memulakan Google daripada garaj seorang rakan. Google akhirnya menemui orang ramai pada tahun 2004.

Sheik Mansour Bin Zayed Al Nahayan

Berusia 39 tahun, Sheik Mansour, yang juga salah seorang kerabat diraja Emiriah Arab Bersatu, membelanjakan RM891 juta untuk memiliki kelab bola sepak Manchester City. Memiliki kekayaan bernilai RM14.5 bilion, Sheik Mansour pernah menyelamatkan bank Britain dengan pelaburan tunai sebanyak RM14.8 bilion.

Daniel Ziff

Bersama-sama dua abangnya, Dirk dan Robert, mereka melabur dalam hartanah, hutang korporat dan ekuiti menerusi Ziff Brothers Investement. Syarikat penerbitan yang diwarisi daripada bapa mereka berkembang menjadi konglomerat media dengan menerbitkan pelbagai majalah. Memiliki kekayaan bernilai RM10 bilion pada usia 37 tahun, Daniel dan dua abangnya menjual 95 peratus daripada perniagaan mereka kepada Forstmann Little pada harga RM4.1 bilion pada tahun 1994. Hari ini dana keluarga itu dikatakan bernilai lebih RM29.7 bilion.

Putera Albert von Thurn und Taxis

Pernah termasuk dalam senarai hartawan dunia pada usia lapan tahun, putera Jerman itu secara rasmi mewarisi kekayaannya pada Jun 2001, sempena hari jadinya yang ke-18. Memilik kekayaan dianggarkan bernilai RM6.2 bilion, aset Albert, 25, termasuk hartanah, lukisan, syarikat teknologi dan 30,000 hektar tanah di Jerman. 

Menara kubur Oleh Hazirah Che Sab

pix_gal0
Pencakar langit Mumbai papar konsep pusara menegak, pelbagai agama bawah satu bumbung

TANAH perkuburan Islam, Hindu dan Kristian di satu tempat? Ia mungkin tidak terjangkau dengan akal fikiran tetapi dengan wujudnya Menara Moksha di tengah bandar raya Mumbai, India, membuktikan apa saja boleh dibuat atas nama ‘keperluan semasa’ biarpun pasti mengundang kontroversi. 

Lebih pelik, kawasan perkuburan yang lazimnya dibina secara melebar, sebaliknya menjadi menegak atau vertikal menerusi idea pembinaan konsep Menara Moksha ini.
Biarpun diulit kontroversi, rancangan mewujudkan Menara Moksha yang turut digelar Pusara Menegak ini dibuat atas alasan masalah kesesakan penduduk yang amat ketara di bandar raya itu yang menyebabkan tiada lagi ruang untuk yang hidup, apatah lagi yang sudah mati.


Jika dilihat, projek itu bukanlah yang pertama di dunia kerana bangunan setinggi 13 tingkat di atas bukit di Santos, Brazil, sudah pun mempunyai penghuni kakunya manakala seorang arkitek Korea Selatan turut melontarkan idea sama bagi mengatasi masalah kekurangan tanah perkuburan berikutan harga tanah yang tinggi di kawasan bandar utama. 

Bagi kebanyakan kita, idea pembangunan seperti Menara Moksha itu mungkin tidak masuk akal, tetapi disifatkan praktikal bagi perancangnya. Alasannya - masalah kesesakan penduduk dan kekurangan tanah memaksa kerajaan India perlu memikirkan strategi bagi mengatasi masalah kronik kekurangan kawasan tanah perkuburan. Mumbai, kota kewangan India adalah yang terpadat di negara itu dengan jumlah penduduknya mencecah 20.5 juta orang. Malah, Mumbai atau sebelum ini dikenali sebagai Bombay, turut tersenarai 10 bandar raya paling padat di dunia. 

Semakin padat penduduk, kian ramai pula yang meninggal dunia. Tidak hairanlah, idea mewujudkan Menara Maut ini menarik perhatian ramai walaupun pembinaannya belum dapat dipastikan kerana ia membabitkan banyak perkara lain yang perlu dipertimbangkan. 

Namun idea serta konsep kubur mega itu sudah mendapat perhatian ramai. Apatah lagi projek Menara Moksha itu dikemukakan pihak Council on Tall Buildings and Urban Habitat - satu pertubuhan antarabangsa berpejabat di Amerika Syarikat yang juga pihak berkuasa bagi pembangunan bangunan tinggi, termasuk mengeluarkan senarai bangunan tertinggi dunia. 
Biarpun mengenengahkan konsep kubur metropolitan, ia tidak meminggirkan kaedah pengebumian tradisi empat agama utama di Mumbai iaitu Islam, Hindu, Buddha dan Parsi. Secara statistik, penganut Hindu paling ramai di sini iaitu 67 peratus, Islam (18 peratus), Buddha (5.2 peratus) dan Kristian (4.2 peratus). 

Bagi mereka yang beragama Islam, tingkat bawah diperuntukkan berikutan syarat bahawa jenazah dikebumikan. Bagi penganut Hindu dan Kristian di tingkat atas berikutan pengurusan mayat mereka secara dibakar. 

Penganut Parsi yang membiarkan mayat untuk dijamah burung nasar, ditempatkan di bumbung. 

Tidak ketinggalan ruang ibadat, meditasi dan tempat letak kereta, turut disediakan. 

Konsep Menara Moksha dibangunkan sebagai tema mesra alam dengan perekanya, Yalin Fu dan Ihsuan Lin memastikan terdapat ruang hijau yang mencukupi merangkumi ketinggian menara itu. 

Selain kehijauan di seluruh bangunan, rekaannya juga dilengkapi dengan tumbuhan-tumbuhan, lapisan pelbagai mengandungi lapisan luar, tumbuhan, material tenunan dan bingkai besi yang melapik bangunan berkenaan, berfungsi sebagai menyerap haba dan pencemaran. 

Ia juga mensasarkan untuk mengguna pakai teknologi baru yang mengelakkan pembakaran terbuka dalam usaha mengurangkan pencemaran yang semakin meruncing di bandar raya berkenaan. 

Menara berkenaan digambarkan sebagai menegak untuk menguruskan mayat yang menyediakan tempat untuk tempoh waktu lima hingga 10 tahun bagi memastikan kemampuan bangunan berkenaan digunakan untuk tempoh panjang. 

Walau apapun, perancangan meletakkan tanah perkuburan pelbagai penganut agama mungkin relevan pada sesetengah pihak tetapi masih ada baik buruknya di sisi agama itu sendiri. Mungkin bagi sesetengah golongan, ia melambangkan perpaduan dan keharmonian pelbagai kepercayaan tetapi agama sendiri sudah pun menetapkan sempadan sejauh mana untuk kita saling bercampur. 

Apa yang pasti menempatkan mayat pelbagai agama di satu tempat walaupun terasing dengan lingkungan tembok dan sebagainya bukanlah sesuatu yang boleh dikaitkan sebagai konsep toleransi bagi satu-satu pegangan. 

Buat masa ini, konsep pembinaan Menara Moksha tinggal di atas kertas, tetapi tidak mustahil ideanya pasti diangkat mereka yang beranggapan ia penyelesaian masalah kekurangan tanah perkuburan di kota metroplitan. 

Kubur langit di Tibet 

SELAIN in mengebumikan dan membakar mayat, terdapat pelbagai lagi kaedah lain digunakan untuk menghantar si mati ke alam satu lagi sama ada mengikut ajaran agama atau sekadar meneruskan tradisi. 

Antara kaedah unik yang diamalkan termasuk apa yang dikenali sebagai Sky Burial atau pusara langit di Tibet. Amalan yang sudah dilakukan sejak beribu tahun itu membabitkan upacara yang dilakukan golongan tertentu Tibet. 

Mayat dipotong dan dibiarkan di kawasan pengebumian untuk santapan burung nasar, yang dipuja penduduk tempatan sebagai haiwan suci. Ada lebih 1,100 kawasan Sky Burial dan yang terbesar terletak di Perkuburan Drigung Til yang menerima secara purata 10 mayat sehari. 

Sementara di Australia, kawasan perkuburan di Victoria memulakan cara inovatif mengebumikan mayat dengan kaedah mesra alam dan mahal, alternatif kepada kaedah pembakaran. Terdapat cuma bilik berdiri untuk sesiapa yang memilih untuk dikebumikan di kawasan perkuburan unik itu. 

Mayat diletakkan dalam beg khas berbanding keranda dan dikebumikan secara menegak di tanah yang pernah digunakan sebagai padang ragut. Menurut pengendali upacara pengebumian pelik itu, kaedah itu tidak menjejaskan alam sekitar. 

Di Korea Selatan pula, pembakaran sebagai alternatif kepada pengebumian semakin popular. Menurut akhbar JoongAng Daily, undang-undang lama di Korea mengenai kaedah pengebumian dipinda pada tahun 2001, mengehadkan tempoh 60 tahun untuk dikebumi, dan selepas itu mayat dibakar. 

Di Sweden, sebuah syarikat memperkenalkan teknik Promession yang menyaksikan mayat tidak diawet tetapi disejukkan sehingga di bawah paras -64 darjah Fahrenheit dengan peti sejuk biasa dan terus dibekukan sehingga -385 darjah Fahrenheit dengan meletakkan ia dalam cecair nitrogen. 

Mayat beku menjalani proses yang menyaksikannya menjadi serbuk organik yang bersih dan tidak berbau, yang kemudian dimasukkan ke dalam ruang sedutan yang menyedut semua cecair dalam mayat itu.

Senjata sihir Afrika Oleh Hazirah Che Sab

Pelepas dendam, perangkap wanita dan bunuh 

DENDAM dan hasad dengki menjadi gabungan paling bahaya yang mendorong manusia sanggup bertindak luar batasan. Antara ‘senjata’ yang kerap jadi pilihan - penggunaan sihir untuk menghancurkan kehidupan orang lain yang bukan perkara baru malah melepasi sempadan agama, keturunan dan budaya.
Di Malaysia, santau mungkin menjadi perantara yang kerap digunakan untuk menganiaya orang lain sehingga dikatakan boleh membawa maut tetapi di seluruh dunia, amalan voodoo jauh lebih popular dan mengerikan.


Kita sendiri pernah dikejutkan dengan laporan akhbar ini tidak lama dulu mengenai sindiket antarabangsa didalangi warga Afrika di Malaysia yang dipercayai mengamalkan sihir pukau kuno, voodoo untuk memperdayakan wanita tempatan bagi pelbagai tujuan jenayah, termasuk sebagai penyeludup atau keldai dadah. Difahamkan, mangsa turut menjadi habuan seks anggota sindiket sebelum dilacurkan, selain diperalatkan untuk kegiatan pemalsuan wang dan kad kredit hingga ke luar negara. Mangsa biasanya tidak sedar mereka dipukau dengan pemikiran dan kelakuan mereka dikawal anggota sindiket. 

Di peringkat antarabangsa pula, Rabu lalu, sekumpulan polis menyerbu sebuah rumah yang juga ‘kilang bayi’ di Lagos, Nigeria dan menyelamatkan 32 remaja perempuan berusia 15 hingga 17 tahun yang dipaksa mengandung dan bayi mereka dijual kepada sindiket antarabangsa, termasuk dijadikan korban bagi upacara voodoo. 

Minggu lalu, di New York, seorang warga bandar raya itu mengakui membakar anak perempuannya yang masih kecil dalam satu upacara voodoo. Pada akhir Mac lalu, misteri penemuan cebisan anggota badan seorang budak lelaki di Sungai Thames, London, pada 2001, terungkai apabila dia disahkan menjadi mangsa pembunuhan kejam voodoo. 

Pada tempoh sama, di Roquetas de mar, Sepanyol, polis menahan 10 orang dipercayai terbabit dalam sindiket pelacuran yang mana saudara mara wanita itu akan diugut dengan sihir voodoo dan diculik jika enggan menyerahkan anak perempuan mereka untuk dilacurkan. Wanita itu dibawa dari beberapa wilayah Nigeria ke Maghribi sebelum dijual di Sepanyol. 
Malah, rangkaian sindiket pelacuran antarabangsa, khususnya yang bertapak di Nigeria, lazimnya menggunakan amalan voodoo bagi memperdaya dan memperalatkan mangsa. Kepercayaan terhadap voodoo itu amat kuat di beberapa bahagian Nigeria dan mangsa sering dipaksa bersumpah oleh ketua voodoo itu supaya patuh kepada anggota sindiket atau bapa ayam. 

Apa sebenarnya voodoo ini sehinggakan pengaruhnya menebar sehingga ke pelusuk dunia? Secara tradisinya, voodoo adalah sebahagian daripada upacara keagamaan di Afrika Barat sebelum amalan itu berkembang ke seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat berikutan aktiviti perhambaan oleh penjajah kolonial. 

Amalan voodoo itu sendiri mungkin setua benua Afrika itu sendiri tetapi kini sudah meluas jutaan penduduk dunia dari Afrike ke Kepulauan Carribbean, Amerika Utara, Tengah dan Selatan, dalam pelbagai bentuk. Ia dikatakan kepercayaan animisme bagi kaum Fon, Ewe dan Yoruba di benua itu, yang biasanya dimulakan dengan bacaan mantera menyeru semangat roh nenek moyang mereka sebelum menggunakan patung jerami untuk mengenakan mangsa. 

Voodoo dipercayai bermula di Haiti pada 1724 dan ramai tidak tahu voodoo itu satu bentuk keagamaan yang mempercayai kewujudan Tuhan. Amalan itu dibawa ke Barat oleh hamba Afrika. Bagi penduduk Afrika, voodoo bukan sekadar agama tetapi juga bentuk perubatan tradisi mereka, pelindung dan cara mengekalkan kebebasan dan identiti.

Malangnya, pihak tidak bertanggungjawab mengamalkan bentuk ilmu hitam yang menuntut manusia dikorbankan. Sisi gelap voodoo digunakan untuk menyeru semangat jahat dan membaca mantera ke atas musuh selain penggunaan patung yang memaparkan diri mangsa atau sasaran. Dalam voodoo - si hidup ‘melahirkan’ si mati dan si mati menjadi roh. Dan roh nenek moyang atau digelar sebagai Loa atau Orisha, melindungi penduduk itu menerusi proses pemulihan dalam bentuk menari, sumpahan dan upacara rahsia. Upacara yang menjadi simbol hidup dan mati dalam bentuk penyerahan tengkorak dan tulang. 

Malah, tarian pemulihan itu adalah prinsip utama voodoo. Kesakitan atau penyakit dianggap sebagai pengaruh roh jahat daripada si mati. Semakin lama tarian itu dipersembahkan, ia menjadi kian ‘ganas’ dengan penari itu sebegitu terpukau dan seperti dirasuk bagi memulihkan mereka yang sakit. 

Namun, hakikatnya, seperti diakui ramai penyelidik, upacara voodoo dilakukan dalam bahasa rahsia, tarian selepas dirasuk dan diet khas yang dimakan pengamalnya. Roh nenek moyang dikatakan berjalan dalam kalangan orang hidup. 

Antara upacara voodoo turut membabitkan pembelian dan penjualan tangkal. Ia juga diubah suai menjadi patung mewakili Tuhan, kepala haiwan yang dikeringkan atau bahagian badan lain. Ia dijual untuk tujuan perubatan dan mempunyai kuasa ghaib. Amalan voodoo asli atau lama turut mengutamakan penggunaan patung yang mewakili semangat atau roh individu tertentu. Patung ini juga boleh dihias berpakaian seperti individu sasaran perbuatan sihir itu. 

Pawang voodoo itu akan memuja semangat menerusi perantaraan patung itu dengan tujuan memastikan keinginan tuan punya patung itu dipenuhi. Ini termasuklah soal cinta, perhubungan di tempat kerja selain memenuhi hasad dengki serta membunuh. Namun, pemujaan bagi tujuan cinta, penganiayaan dan bunuh itu hanya boleh disempurnakan jika barangan mangsa seperti gambar, rambut, kuku yang dilekatkan pada patung itu. Menggunakan alat tajam seperti pin dan paku yang menusuk patung dan menyebabkan mangsa sakit dan seterusnya mati. 

Bukti hidupnya amalan itu boleh dilihat di Lome, Togo, yang menjadi pasar pelbagai bahan pelengkap amalan dan sihir voodoo ini. Di sinilah segala macam bahan daripada tengkorak haiwan, pelbagai kepala monyet, buaya, ular, kucing selain bangkai burung hantu yang dikeringkan, dijual. 

Seorang pengamal voodoo dari Benin, Joseph mendakwa tulang temulang haiwan itu yang dicampur dengan herba lain digunakan bagi tujuan merawat pesakit. 

“Bagi mendapatkan bahan mentah, kami perlu ke pasar ini. Ia umpama farmasi perubatan tradisional,” katanya. 

Seperti diakui Profesor Antropologi Universiti Michigan-Flint, Judy Rosenthal, biarpun pengamal voodoo lebih bersifat secara sukarela, beliau sendiri sepanjang kajiannya mengenai amalan ini, pernah berdepan dengan sekurang-kurangnya satu kes yang mana kanak-kanak diberikan sebagai hadiah kepada pawang voodoo. 

“Amalan ini ada banyak syarat dan peraturannya. Mereka yang mengamalkannya dan kemudian melanggar ajaran itu boleh jatuh sakit dan mati,” katanya. 


INFO 
Voodoo
 

  • Ketika upacara voodoo, beberapa pengikut mendakwa tubuh mereka dirasuk ‘Iwa’ iaitu roh voodoo. 
  • Voodoo ialah antara sebutan paling biasa di kalangan penganut agama di Afrika Barat manakala vodun dipercayai sistem amalan puak Ewe, Kabye, Mina, Fon dan Youba iaitu penduduk di tenggara Ghana, selatan dan tengah Benin, selatan dan tengah Togo serta barat daya Nigeria. 
  • Amalan voodoo yang diamalkan di Haiti berkembang di Amerika Syarikat pada lewat tahun 1960-an dan awal 1970-an, hasil kedatangan penduduk negara itu yang mendapatkan perlindungan daripada rejim Duvalier. Lokasi diduduki pendatang Haiti di Amerika termasuk di Miami, New York dan Chicago. 
  • Majoriti upacara voodoo membabitkan pengorbanan haiwan. Ia dipercayai memberikan nyawa kepada si mati. Amalan itu juga dilihat sebagai cara memberikan makan dan minum kepada roh. 
  • Ada dua perbezaan voodoo iaitu Rado dan Petro. Rado dinilai amalan secara aman manakala Petro dilihat lebih bahaya kerana membabitkan penggunaan ilmu hitam. Dengan Petro, pengamal terlalu asyik dengan sumpahan maut dan mewujudkan zombi. 
  • Kaedah sumpahan membabitkan mencucuk pin kepada patung voodoo dikaitkan dengan apa yang digelar voodoo New Orleans. Bagaimanapun, pendekatan itu lebih mengingatkan kepada beberapa kepercayaan sihir dari Eropah. 
  • Voodoo membabitkan pemujaan kepada Tuhan yang digelar Bondye. Ia dilihat sebagai memiliki tiga bahagian berbeza iaitu Iwa, Si Kembar dan Si Mati. Iwa - adalah roh yang membentuk tiga kuasa besar di alam semesta dan dilihat dalam semua aspek kehidupan seharian. Ia dipercayai mengadakan hubungan dengan orang hidup dengan wujud ketika keadaan baik dan buruk. Mewakili keseimbangan baik dan jahat adalah Si Kembar dan Si Mati ialah roh yang tidak dituntut oleh keluarga. 
  • Antara objektif utama amalan voodoo bertumpu kepada usaha penyembuhan dengan kira-kira 60 peratus daripada aktiviti dan upacara memberi tumpuan kepada matlamat itu.

Monday 18 July 2011

Manusia pontianak Oleh Hazirah Che Sab

Gambar kecil, Wajah asal Maria Jose Cristerna sebelum melakukan transformasi wajah.
Rawatan kosmetik belah lidah, wajah pontianak, implan tanduk kini trend hangat di Barat

TREND atau obsesi gila! Itulah yang berlaku sekarang apabila fenomena pelik mengiringi dunia kecantikan plastik yang kini beralih kepada kegilaan baru - mencacatkan kesempurnaan wajah dengan segala bentuk penampilan pelik yang sama sekali tidak boleh diterima akal.
Buktinya - lidah diubah menyamai lidah cicak, gigi pontianak, hujung telinga tajam seperti karakter ‘Mr Spock’ malah yang terlebih berani, melakukan pembedahan menumbuhkan tanduk di kepala menerusi kaedah implan.


Percaya atau tidak, pembedahan seumpama itu semakin mendapat sambutan menyebabkan doktor yang sebelum ini sibuk dengan usaha mencantikkan wajah kini beralih haluan kepada teknik mencacatkan rupa.

Meraih populariti menerusi filem dan siri televisyen seperti Twilight, The Vampire Diaries dan True Blood, bukanlah sesuatu yang mengejutkan prosedur bertemakan pontianak dianggap pencetus aliran.

Transformasi merubah wajah menjadi seperti pontianak, misalnya, hanya mengambil masa cuma 20 minit tanpa kesan bengkak atau lebam pada muka. Ia tidak menggunakan pisau sebaliknya cuma sejenis suntikan Selphyl yang menjadikan ketebalan kulit bertambah dalam masa beberapa minggu ketika kolagen baru dan saluran darah terbentuk. Tisu pelanggan sendiri yang melambatkan kesan penuaan secara semula jadi.

“Saya rasa tema yang begitu popular dalam industri hiburan kebelakangan ini menyebabkan wujudkan minat menggila terhadap peminat siri berkenaan,” kata pakar bedah perubatan swasta Amerika Syarikat, Dr Andre Berger, dipetik media tempatan, baru-baru ini. 
Bukan saja hasilnya mengerikan malah prosedurnya juga sudah cukup untuk meremangkan bulu roma - suntikan disediakan dengan mengambil darah pesakit. Platelet dipisahkan daripada sel darah merah, kemudian dicampurkan dengan sejenis bahan dan disuntik ke bahagian badan diingini. Ia bertahan kira-kira 15 bulan dan bahagian yang disuntik akan kelihatan licin selepas dua atau tiga minggu.

Sudah pasti, ketika proses itu dianggap selamat oleh sebahagian doktor, sekumpulan yang lain menyuarakan kebimbangan dengan kaedah itu.

“Salah satu masalah dengan darah sendiri ialah sesetengah orang pitam apabila darah mereka diambil. Selain itu, darah cenderung menyebabkan kegatalan pada bahagian disuntik dan kadang-kadang menyebabkan kesan lecur. Anda menyuntik darah ke bahagian yang tidak sepatutnya ada darah,” katanya yang juga Pengarah Pembedahan Kosmetik, Pusat Perubatan Maimonides di Brooklyn, New York.
Satu suntikan cuma berharga AS$1,500 (RM4,575), jauh lebih murah berbanding pembedahan menegangkan wajah. 

Bagi yang mahu menjadi pontianak atau hantu jadian, pembedahan mendapatkan siung memerlukan pesakit membuang gigi asal dan siung palsu dimasukkan pada gusi.

Selain itu, kaedah membelah lidah adalah antara aliran terkini yang popular atau digilai. Dalam prosedur itu, lidah dibelah daripada hujung hingga ke belakang sepanjang tiga hingga lima sentimeter mengikut kehendak pesakit.

Pembedahan menajamkan cuping telinga dikatakan antara paling pelik tetapi mula mendapat sambutan. Ia membabitkan sedikit bahagian atas cuping dipotong dan lukanya dijahit menjadikan ia agak tajam. Ia dicetuskan pakar pembedahan plastik new York, Dr Lajos Nagy.

“Menajamkan telinga menerusi pembedahan plastik bukan saja menambah daya penarik wajah tetapi turut memperbaiki pengalaman mendengar muzik,” katanya menerusi laman web. Dr Nagy juga bercadang memperkenalkan kaedah itu di Hungary.

Bagaimanapun, pandangan Dr Nagy disangkal sekumpulan pakar perubatan lain yang menegaskan pembedahan itu berbahaya kerana ia tidak boleh diperbaiki dan meninggalkan kecacatan kekal pada telinga.

Kegilaan mengubah struktur wajah hingga mencacatkan rupa mungkin masih baru tetapi kaedah itu sudah mengumpul pengikut tersendiri. Jika ada yang tertanya-tanya mengapa kaedah seumpama itu menjadi pilihan, Eric Sprague, mungkin boleh memberi jawapan.

Sprague, 39, menjadi antara segelintir orang pertama melakukan pembedahan membelah lidah yang dilihat menjadi penyebab kepada populariti aliran aneh itu. Bukan sekadar lidah, Sprague, turut mengubah dirinya menjadi cicak dengan tatu penuh di seluruh tubuh, lima tanduk yang diletakkan di bawah kulit kening dan mengasah gigi menjadi siung.

Tidak ketinggalan Dennis Avner, dikenali sebagai lelaki kucing, yang rela menjalani pembedahan dalam usahanya membuatkan wajahnya kelihatan seperti haiwan dikagumi, harimau.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki berkenaan masih tiada apa-apa dibandingkan dengan perubahan yang dilakukan Maria Jose Cristerna, 35, yang berasal dari Mexico. Peguam terlatih yang lahir dalam keluarga berpegang teguh pada agama itu mengubah dirinya menjadi pontianak selepas bertahun menderita didera oleh suaminya.

Cristerna yang berkahwin pada usia 17 tahun membuat tatu hampir di seluruh tubuh. Tidak cukup dengan itu, dia melakukan pembedahan meletakkan tanduk titanium pada tengkorak dan pembedahan gigi untuk mewujudkan siung.

“Tanduk saya sebagai simbol kekuatan dan dilakukan tanpa bius. Saya buat taring kerana sukakan pontianak dan mengubah warna mata kerana itu yang saya inginkan,” katanya.

Namun itu bukan pengakhiran perubahannya kerana dia mahu menambah tanduk titanium di belakang kepala.

Turut mencipta nama menerusi tabiat pelik ini ialah Steve Haworth yang memegang gelaran Guinness World Record sebagai orang paling banyak melakukan perubahan pada tubuh.

“Ramai orang yang ada visi dalaman mengenai diri masing-masing dan mahu menunjukkan kepada dunia sekitar mereka. Saya gembira dapat menjadi artis yang boleh menunjukkan perkara itu,” katanya.

Apa pun alasannya, usaha mencacatkan rupa tidak dapat diterima akal waras dan kemungkinan orang tidak siuman turut berfikir banyak kali sebelum menyerah diri melakukan sesuatu yang tidak ada jalan pulang. Jadi, dalam kategori manakah Sprague, Avner, Cristerna dan Haworth berada? 

Azab radang sendi Oleh Suzan Ahmad

Walaupun adakala bertongkat, Nurul Afida cekal hadapi rheumatoid arthritis arthritis sejak 11 tahun lalu

SESUAI sifat penyakit Rheumatoid Arthritis (RA) yang mengambil masa agak lama untuk menunjukkan gejala yang ketara, fasa awal yang dilalui Nurul Afida Kamaludin, yang menghidap penyakit auto imun ini sejak 11 tahun lalu bermula hanya dengan lenguh dan sakit di bahagian sendi, kejang dan lesu.
Namun, ibu empat anak ini masih tidak sedar akan perubahan dirinya walaupun pernah terjatuh ketika hamil anak ketiga pada 1998.


“Pada mulanya hanya sakit-sakit sendi saja. Lama kelamaan ia mula melarat ke rahang, siku dan bahagian otot lain. 

“Biasanya ia reda selepas makan ubat penahan sakit jadi saya abaikan saja kerana tidak menganggap ia sesuatu yang serius,” kata wanita berusia 45 tahun ini ketika ditemui, baru-baru ini.

Malah, keadaan penyakitnya serta derita yang ditanggung sekian lama, menjadikannya ‘model’ pesakit RA pada majlis perasmian Treat to Target in Rheumatoid Arthritis anjuran Persatuan Arthritis Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Abbott Malaysia di sini, baru-baru ini.

Hanya ketika hamil anak keempat, gejala-gejala seperti kejang, sakit sendi, lesu semakin jelas dan ditambah kematian ayah tersayang, Kamaludin Abdul Razak, pada 2000 yang turut menjadikannya murung. 
Namun, Nurul Afida masih tidak dapat mengesan apa penyakit dialaminya walaupun selepas beberapa kali melakukan ujian darah. Akibatnya dia terlalu bergantung kepada ubat tahan sakit. Kemuncak deritanya pada tahun sama, apabila sebaik habis pantang, dia tidak boleh bergerak. Bahu terasa sangat sakit dan terpaksa memikirkan pula keadaan bayinya yang baru berusia dua bulan ketika itu.

“Saya ke sebuah hospital swasta dan membuat ujian darah lagi. Cukup mengejutkan apabila keputusan ujian darah itu menunjukkan faktor rheumatoid arthrtis saya mencecah 480 walhal bacaan seorang yang normal sepatutnya 20 saja. 

“Ketika itu saya tak ubah macam mayat hidup kerana seluruh tubuh badan kaku dan lebih menyedihkan tangan sudah mula berubah dan mengerekot,” kata Penolong Pengarang di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA). 

Dia mengambil keputusan untuk tidak lagi ke hospital swasta kerana kosnya yang terlalu tinggi. 

Fasa selanjutnya dalam hidup insan tabah yang yang tidak lekang senyuman ini penuh dengan pelbagai dugaan. Urusan kerjayanya sering terganggu. Selain suami, keluarga, saudara mara yang masih belum memahami apakah penyakit yang dialaminya membawanya berdepan pelbagai persepsi dan andaian yang langsung tidak membantu proses pemulihannya.

“Saya sendiri mengambil masa dua tahun untuk memahami pelbagai jenis ubat, penyakit dan bagaimana menguruskan kehidupan dengan penyakit ini. Hidup perlu diteruskan, jadi saya perlu berfikiran positif kerana memikirkan masa depan keluarga dan anak-anak. Walaupun tahun berganti tahun dan penyakit ini masih tidak banyak berubah, saya masih bersyukur melihat perkembangan teknologi perubatan moden yang pantas dan semakin canggih.

“Allah sentiasa memberi petunjuk dan jalan keluar kepada hambanya. Syukur saya diberi peluang mencuba pelbagai jenis ubatan baru di hospital kerajaan termasuk terapi bukan biologics seperti MTX seminggu sekali manakala biologics pula seperti infliximab selama setahun. Saya harus berterima kasih kepada BERNAMA kerana menanggung kos perubatan itu selama setahun disamping majikan, rakan sekerja dan rakan taulan yang memahami penyakit ini.

“Walaupun kini ada kalanya terpaksa bertongkat, saya percaya bahawa banyak perkembangan positif yang sudah saya alami. Bayangkan dulu nak pegang apa pun pun tidak berdaya. Kini, walaupun mengalami kecacatan anggota tetapi sekurang-kurangnya saya boleh berfungsi dengan baik sebagai isteri, ibu, rakan dan menyumbang kepada masyarakat. Jika hendak dibandingkan keadaan saya 11 tahun lalu, saya kini lebih baik lagi ditambah pengetahuan dan ilmu yang mendalam yang membantu dalam pengurusan penyakit secara lebih terancang. 

“Pesanan saya kepada wanita berusia di awal 20-an, khususnya, andai alami gejala seperti bengkak pada sendi jari, demam waktu malam dan ruam pada badan, cepatlah berjumpa doktor untuk pemeriksaan, terutama pemeriksaan darah. Percayalah, rawatan awal dapat menghindar masalah keradangan berlanjutan sehingga berlaku hakisan tulang dan mengakibatkan kecacatan anggota seperti yang saya alami.”

Ultrasound bantu kesan RA lebih awal

RHEUMATOID Arthritis (RA), adalah masalah auto imun yang dihidapi hampir 135,000 pesakit di Malaysia. Ia adalah penyakit kronik yang bersifat progresif dan memusnah sendi dan tisu di sekelilingnya. Jika tidak dirawat dengan baik, ia bakal mengundang kecacatan. 

Laporan Pendaftar Keradangan Arthritis Kebangsaan (NIAR) menunjukkan kebanyakan atau 48.7 peratus pesakit lewat didiagnos iaitu 12 bulan selepas gejala awal bermula. 

Lalu, apakah pilihan bagi mereka yang mahu mengesannya seawal mungkin? Pakar Perunding Rheumatologi, Dr Anwar Arshad, menegaskan betapa pentingnya peranan teknologi imbasan ultrasound dalam bidang perubatan rheumatologi. 

“Kemajuan teknologi perubatan membantu pakar mengklasifikasikan pesakit tertentu mengikut peringkat dan tahap penyakit. Dan kerana teknologi juga, sejak sedekad kebelakangan ini pakar rheumatologi menjadikan ultrasound sebagai kelengkapan utama di klinik-klinik mereka.

“Ultrasound muscular sceletol adalah lebih kurang sama dengan aplikasi imbasan lain. Apa yang membezakannya adalah penggunaan frekuensi yang lebih tinggi bagi mengesan struktur di bawah kulit. Sedikit ubah suai dilakukan terhadap teknologi itu bagi membolehkan kami melihat struktur sehingga dua sentimeter di bawah kulit,” katanya selepas membuat demonstrasi penggunaan ultrasound selepas majlis perasmian Treat To Target in Rheumatoid Arthritis (T2T), baru-baru ini.

Kajian menunjukkan ultrasound mampu memberi gambaran tahap keradangan yang berlaku dengan sensitiviti lebih baik dan menumpukan sendi yang bermasalah. Diagnosis atau pengesahan seseorang itu menghidap RA hanya diperoleh selepas penemuan pengimejan digabungkan dengan tanda-tanda klinikal, sejarah pesakit dan maklumat biokimia.

“Maklumat pengimejan ternyata akan membantu pakar rheumatologi membuat keputusan ujian klinikal dan pengurusan klinikal seseorang pesakit. Jika anda ada saudara mara mengalami keradangan awal arthritis, pengimejan adalah saranan terbaik bagi mengesan secara tepat apa sebenarnya berlaku dalam sendi mereka itu,” katanya.

Adalah sangat praktikal bagi seorang doktor melakukan diagnos atau merawat pesakit rheumatology menggunakan ultrasound bagi memeriksa sendi kecil secara lebih tertumpu, seperti sendi jari atau ibu jari kaki, bagi menilai paten kemusnahan dan kerosakan atau sejauh mana aktiviti keradangan. Ultrasound memiliki resolusi ruang yang tiada bandingannya sebaik diaplikasi pada sendi kecil, bagaimanapun nilainya pengimejan itu masih bergantung kepada kepakaran pengguna mesin ultrasound berkenaan. 

Dengan kesinambungan Kempen Power of Imaging fasa kedua di antara Kementerian Kesihatan Malaysia, Persatuan Rheumatologi Kebangsaan dan Abbott Malaysia lebih ramai lagi pakar rheumatologi akan dilatih dan saya percaya dalam beberapa tahun mendatang ia akan menjadi peralatan utama kepada pelatih yang cukup mahir dengan aplikasi rheumatologi. Apa yang pasti pengimejan ultrasound adalah peralatan yang saling melengkapi dan bukan saingan kepada diagnosis dan rawatan susulan RA. 

Sementara itu, T2T adalah inisiatif di peringkat antarabangsa yang julung kali diadakan khusus bagi memberi definisi kepada rawatan tertumpu rheumatoid arthritis (RA) bagi mengukur aktiviti penyakit dan menggalakkan diagnosis dan rawatan awal. Buat masa ini, inisiatif ini turut disertai pakar rheumatologi secara global membabitkan lebih 45 negara.

Sasaran utama T2T adalah bagi melengkapkan pakar perubatan rheumatologi dengan arah yang jelas membabitkan rawatan tertumpu dan kawalan penyakit yang ketat, yang di aplikasi secara harian bagi memastikan pesakit mencapai keadaan klinikal di mana kerosakan otot dan kecacatan dapat dielakkan.

INFO: Rheumatoid Arthritis
Segera temui doktor jika...

  • Mengalami sendi yang sakit, bahang dan bengkak

  • Mendapati simtom pada sendi secara bersimetri

  • Alami keradangan sendi yang seringkalinya pada pergelangan tangan dan sendi jari yang paling dekat dengan tangan.

  • Ada keradangan sendi yang kadangkala menjejaskan sendi yang lain, seperti leher, bahu, siku, pinggul, lutut, buku lali dan kaki

  • Terasa amat penat, mengalami demam tidak tentu pasal dan sentiasa berasa tidak sihat.

  • Mengalami sakit dan kaku berlanjutan lebih 30 minit pada waktu pagi atau selepas berehat agak lama.

  • Mengalami simtom yang berlanjutan lebih dari beberapa minggu

    Sumber: Yayasan Arthritis Malaysia di laman sesawang www.afm.org.my

    Antara gejala:

  • Sakit sendi (lengan, pergelangan tangan, jari-jari, pergelangan kaki, lutut, pinggul dan bahagian bawah tulang belakang terutama semasa dan selepas aktiviti.

  • Bengkak di bahagian sendi

  • Kekerasan sendi.

    Rawatan:
    Selain ultrasound dan pengimbas magnetik (MRI), RA turut dirawat menggunakan terapi Biologics dan bukan Biologics
    Biologics : Infliximab, Etanercept, Adalimumab, Rituximab dan Tocilizumab
    Terapi bukan Biologics: MTX, SAS, HCQ, Leflunomide, Cyclosporine dan Azathioprine. 
  • Blog Archive