Dot To Dot 3 Column

Monday 18 July 2011

Manfaat besar susu Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan

SUSU adalah sejenis makanan yang kaya dengan nutrien dan dipenuhi sumber vitamin serta mineral baik seperti vitamin A, kumpulan vitamin B (riboflavin, niasin, vitamin B6 dan vitamin B12 ), magnesium, fosforus, zink dan kalsium.
Tahukah anda daripada hidangan makanan yang diambil setiap hari, tiada satu pun menyamai kepentingan dan kebaikan yang boleh diperoleh daripada segelas susu selain turut digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Dianggarkan bermula tahun 9000 sebelum Masihi lagi, manusia mula meminum susu bagi menjaga kesihatan tubuh badan. Malah, susu juga adalah sumber nutrisi utama yang perlu diberikan kepada anak pada peringkat awal perkembangan tumbesaran mereka dan ia harus diamalkan sepanjang usia.
Manfaat ini boleh diperoleh secara terus dengan meminum susu ataupun mengambil produk tenusu seperti keju, mentega susu, dadih, minyak sapi, aiskrim dan pelbagai lagi.

Walaupun sedar kebaikan susu tetapi masih ramai wanita yang cuba mengelaknya atas pelbagai alasan termasuk tidak boleh menerima rasa semula jadi susu dan masalah tidak toleran dengan gula susu yang menyebabkan mereka cirit-birit setiap kali mengambil minuman berkhasiat ini.

Sumber kalsium yang ada di dalamnya juga membantu mencegah tubuh daripada mengalami penyakit kronik berbahaya.
Ada beberapa sebab lain mengapa kita perlu minum susu atau mengambil produk tenusu iaitu: - Mencegah masalah osteoporosis atau tulang rapuh. Individu dewasa memerlukan 1,000 hingga 1,200 miligram kalsium sehari dan minum susu yang diperkaya dengan mineral ini cara paling mudah untuk mendapat bekalan kalsium harian.

Oleh kerana tulang sentiasa mengalami proses kemerosotan dan pembinaan semula, isu terlewat menjaga kesihatan tulang tidak timbul. Susu boleh diambil pada semua peringkat umur sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa atau orang tua.

Kita akan mengalami osteoporosis (tulang rapuh) jika terus membiarkan tulang merosot, sedangkan perkara ini boleh dicegah dengan mengambil makanan kaya kalsium seperti susu dan produk tenusu, mengamalkan pemakanan seimbang dan kerap bersenam.

- Selain kalsium, susu dan produk tenusu juga kaya dengan protein. Satu pek dadih rendah lemak contohnya mampu membekalkan satu pertiga daripada keperluan kalsium harian anda dan hampir 17 peratus protein.

- Vitamin D - Kebanyakan susu diperkaya dengan vitamin D. Vitamin D penting untuk membolehkan tulang menyerap kalsium, malangnya ia sering dipinggirkan. Badan kita boleh menghasilkan vitamin D jika mendapat cukup cahaya matahari (terutama pada waktu pagi).

Cara paling mudah ialah minum susu rendah lemak yang diperkaya dengan vitamin D. Ada kajian mendapati vitamin D juga boleh mengurangkan risiko beberapa penyakit seperti kanser dan tekanan darah tinggi.

- Tingkatkan ketumpatan tulang - Kajian di Finland ke atas gadis remaja berusia antara 10 hingga 12 tahun mendapati mereka yang mengambil makanan kaya kalsium (seperti keju) mempunyai ketumpatan tulang lebih tinggi berbanding kumpulan yang tidak mengambil keju.

- Tekanan darah - Kajian ke atas 5,000 orang dewasa di Sepanyol mendapati mereka yang mengambil produk tenusu rendah lemak (susu skim dan susu rendah lemak) dalam masa dua tahun kurang berisiko (54 peratus) mengalami tekanan darah tinggi.

Penyelidik berpendapat perkara ini ada kaitan dengan protein dalam susu rendah lemak (kasein dan whey) yang dikatakan mempunyai tindakan lebih kurang sama dengan ubat merendahkan tekanan darah.

- Sindrom metabolik - Berdasarkan data diperoleh daripada 827 responden (lelaki dan wanita), penyelidik Iran merumuskan individu yang mengambil produk tenusu rendah lemak mempunyai ukuran pinggang lebih kecil dan kurang risiko alami sindrom metabolik - iaitu sindrom yang mendekatkan kita dengan penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Oleh itu, sempena Hari Susu Sedunia yang disambut pada 1 Jun setiap tahun di seluruh dunia, jenama susu terkemuka, Marigold kali ini memperingatinya dengan menganjurkan pameran berkaitan susu di Jusco, Mid Valley Megamall Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya pengagihan sampel produk secara percuma, permainan interaktif, persembahan pendidikan dan aktiviti promosi sepanjang enam hari program itu berlangsung iaitu bermula pada 30 Mei hingga 5 Jun lalu.

Menurut Timbalan Pengurus Besar Marigold, Michael Ong, sempena sambutan Hari Susu Sedunia berkenaan, Marigold tampil untuk mendidik masyarakat mengenai manfaat diperoleh melalui pengambilan susu sebagai bahan makanan nutrisi utama yang tinggi khasiatnya.

"Kami ingin memberikan galakan lebih menyeluruh dengan memfokuskan kepentingan susu dalam kehidupan seharian selain mendekati pengguna melalui permainan interaktif.

"Maklum balas diperoleh daripada pengunjung amat memberangsangkan dan sepanjang enam hari ia berlangsung, pelbagai peringkat usia boleh dilihat menyertai setiap aktiviti yang dijalankan," katanya.

Selain itu, Ong berkata, hingga kini syarikat berjaya mengeluarkan pelbagai rangkaian produk berasaskan susu merangkumi kehendak ataupun keperluan kesihatan pengguna yang berlainan.

Antaranya susu rendah lemak Marigold HL menggabungkan sumber nutrisi yang tinggi dan kaya dengan nutrien penting seperti kalsium dan protein dan pada masa sama rendah lemak dan laktosa.

Susu berpasteur Merigold pula mengandungi keunikan formula BonePlus yang kaya dengan kalsium untuk membina tulang dan gigi yang kuat serta diperkaya dengan Vitamin D dalam membantu tubuh menyerap kalsium lebih baik.

Sementara itu, susu UHT Marigold pula dipasarkan dengan empat pilihan perisa iaitu penuh krim, coklat, rendah lemak dan strawberi yang pastinya memenuhi kehendak semasa pelanggan.

Di samping itu, katanya, disebabkan susu HL Marigold dan susu berpasteur Marigold dihasilkan dengan mengekalkan kesegarannya tanpa menghilangkan nutrien sedia ada, ia perlu disimpan di dalam peti sejuk dengan suhu bawah empat darjah Celsius setiap masa.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk keluaran Marigold serta manfaat yang boleh diperoleh, boleh layari www.marigold.com.my.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive