Dot To Dot 3 Column

Tuesday 12 July 2011

Populasi seladang semakin kritikal

Oleh LAUPA JUNUS
laupa.junus@utusan.com.my
Gambar Fauzi Baharuddin

ADA beberapa fakta yang mengejutkan mengenai seladang. Ia sebenarnya isu yang turut menimpa banyak haiwan lain di negara ini.

Fakta itu ialah seladang yang merupakan haiwan mamalia darat kedua terbesar selepas gajah diancam kepupusan dengan populasinya kini semakin berkurangan.

Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), salah sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, populasi seladang ketika ini ialah kira-kira 400 ekor sahaja. Ia jauh lebih rendah berbanding hampir 600 ekor pada 1990-an.

Jumlah itu mungkin agak konservatif tetapi hakikatnya seladang diancam kepupusan.

Justeru, Perhilitan sedang mengambil langkah yang wajar bagi menangani masalah tersebut termasuk menubuhkan Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan (PKHL) di Pahang.

Pusat ini terletak di pinggiran Rezab Hidupan Liar Krau di bawah pengendalian 15 pegawai jabatan yang berpengalaman dan mula beroperasi pada 1980.

Pusat tersebut ditubuhkan dengan tiga objektif khusus iaitu pertama meningkatkan populasi seladang menerusi pembiakan dalam kurungan atau konservasi ex-situ.

Objektif kedua ialah menyasarkan pembiakan populasi maksimum sehingga 50 ekor dalam kurungan di PKHL Jenderak Selatan.

Objektif ketiga pula menjalankan program pelepasan semula dan restocking seladang dalam kurungan ke habitat semulajadinya.

Pusat tersebut menurut Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Rasid Samsudin ditubuhkan pada 1980 dan mula beroperasi pada tahun yang sama. Pada tahun 1982 ia mula beroperasi p untuk melindungi haiwan terancam khususnya seladang dengan kawasan keseluruhan 50 hektar.

''Ketika ini, hanya terdapat antara 270 dan 300 ekor seladang dan populasinya berpecah-pecah. Ia tidak tertumpu di satu-satu kawasan dan sangat terancam," kata beliau ketika ditemui semasa lawatan ke PKHL Jenderak Selatan di Pahang, baru-baru ini.

Turut hadir timbalannya, Misliah Mohamad Basir dan Pengarah Perhilitan Pahang, Khairiah Mohd. Shariff.

Abdul Rasid menjelaskan, kadar pengurangan populasi seladang itu cukup kritikal akibat beberapa faktor. Antaranya pemburuan haram dan kerosakan habitat yang disebabkan oleh kegiatan pembalakan haram dan penukaran status tanah.

Oleh itu kata beliau, penubuhan PKHL Jenderak Selatan oleh Perhilitan adalah bagi tujuan memulihara spesies tersebut.

Ia sejajar dengan iltizam Malaysia menubuhkan program pemuliharaan untuk menyelamatkan spesies terancam.

Ini dilakukan dengan menguatkuasakan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan menjadi pakar dalam penyelidikan seladang.

Bagi seladang, program pembiakan dalam kurungan dimulakan pada 1982 dengan langkah awal menubuhkan satu unit pengurusan terdiri daripada 50 pegawai dan renjer dengan mengawasi spesies berkenaan dan mengumpul maklumat mengenainya.

Ia menjalankan program tangkapan baka bagi bagi memulakan program pembiakan dalam kurungan.

Perhilitan menubuhkan tiga PKHL untuk pembiakan seladang dalam kurungan iaitu PKHL Jenderak Selatan (Pahang) pada tahun 1980, PKHL Sungkai (Perak - 1998) dan PKHL Gua Musang (Kelantan) pada 2003.

Usaha tersebut dijalankan dengan menangkap seekor seladang jantan bernama Ahad pada 21 Mac 1982 dan seladang betina bernama Biak pada 7 April tahun yang sama untuk Program Pembiakan Dalam Kurungan.

Sejak itu, dan sehingga Februari lalu, sebanyak 134 ekor seladang berjaya dibiakkan. Pada masa sama, 44 ekor berada dalam Program Pembiakan Seladang Dalam Kurungan di PKHL Jenderak Selatan dan 17 ekor di PKHL Sungkai, Perak dan dua ekor di PKHL Gua Musang, Kelantan.

Menurut Abdul Rasid, antara kelebihan program tersebut ialah mewujudkan program sampingan seperti penyelenggaraan bank gen yang akan dapat mengekalkan kepelbagaian genetik dan membekalkan kawanan-kawanan yang perlu bagi menambah populasi pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive