Dot To Dot 3 Column

Monday 11 July 2011

Murung penyakit kronik Oleh Suzan Ahmad

Bermula seawal 5 tahun, perlu rawatan segera dan berpanjangan 

KES 1
PAKAR merawat seorang lelaki pertengahan usia yang mengalami kemurungan serius. Pesakit terbukti amat berdisiplin dan tidak pernah gagal menghadiri temujanji dengan pakar dan mampu kembali ke pangkuan keluarga. Tiba-tiba, dia tidak muncul untuk rawatan. Malah pihak hospital gagal menghubunginya kerana bertukar alamat. Tiga bulan kemudian, pakar yang merawatnya mendapat panggilan daripada anak lelaki pesakit itu memberitahu ayahnya baru saja membunuh diri.


KES 2 

SEORANG pekerja sering murung. Malangnya, bukan simpati sebaliknya majikannya mencercanya dan berkata dia tidak percaya kemurungan itu penyakit serius. Malah, dia memperlekeh dengan berkata dirinya juga murung, tetapi masih mampu bertugas dengan baik. Murung, katanya, bukan alasan tidak boleh menjalankan tugas seperti biasa. 

DUA kes berbeza tetapi membabitkan masalah sama yang sering kali dinafikan iaitu kemurungan. Ini tidak termasuk pelbagai laporan media kejadian amuk dan pembunuhan ahli keluarga yang turut ada hubung kait dengan masalah kemurungan yang tidak diendahkan. 

Lebih menyedihkan, ramai menganggap kemurungan sekadar gangguan jiwa bersifat sementara dan boleh hilang dengan sendirinya. 
Tanggapan salah sedemikian hanya mengundang padah lebih bahaya - si mangsa membunuh diri atau mengamuk yang boleh meragut nyawa. Persepsi salah menganggap kemurungan satu gangguan kecil menunjukkan betapa tersasar kefahaman masyarakat terhadap kemurungan sebagai satu penyakit. Masyarakat sering salah faham dengan keadaan suka duka yang dilalui seorang yang normal dengan seseorang yang mengalami kemurungan. 

Menurut Pakar Psikiatri dan Terapi Kognitif Jabatan Psikiatri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Maniam Thambu, kemurungan adalah keadaan serius yang mampu mengheret pesakit ke lembah bunuh diri dan membunuh. Kemurungan adalah penyakit biologikal yang menghasilkan simptom biologikal dan juga psikologikal. 

“Akhbar banyak melaporkan kes membabitkan ibu bapa yang membunuh anak-anak kemudian membunuh diri, ibu yang terjun dari bangunan tinggi selepas membunuh anak dengan mencampak anak-anak ke luar bangunan, ibu bapa yang memberi anak-anak makan racun dan banyak lagi insiden yang seumpamanya. 

“Saya sendiri pernah mengendalikan kes yang mana ibu bapa terselamat dari cubaan bunuh diri selepas membunuh anak-anak. Mereka kelihatan sangat normal, tidak ganas jauh sekali merbahaya atau mengancam nyawa tetapi hakikatnya mereka menderita dalam diam,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kemurungan Di Malaysia - Menderita Dalam Diam pada bengkel media anjuran syarikat farmaseutikal, Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd, baru-baru ini. 

Jelasnya, ibu bapa ini berasakan bunuh dan bunuh diri adalah jalan terbaik untuk mengendalikan kemurungan. 

“Keadaan ini menggariskan betapa pentingnya kemurungan dikesan dari peringkat awal sekali gus mendapatkan rawatan,” katanya. 

Mengikut statistik, daripada 28 juta penduduk di negara ini, 1.4 juta menghadapi masalah depresi atau kemurungan. Ia tidak mengenal bangsa mahupun usia. Bagaimanapun wanita lebih ramai menghadapinya yang dikaitkan dengan perubahan hormon seperti kitaran haid, kehamilan, kelahiran dan putus haid. 

Dalam kebanyakan keadaan, wanita yang dibebani tugasan menguruskan rumah tangga dan anak-anak serta berkerjaya tetap sering mengalaminya. Namun, wanita lebih terbuka untuk berkongsi masalah yang dideritai berbanding lelaki yang memilih untuk terjebak ke lembah penyalahgunaan dadah dan ketagihan alkohol sebagai jalan keluar. 

Bagaimana pula usia penghidap masalah kemurungan ini? 

“Episod kemurungan bermula seawal usia 5 tahun. Baik remaja, dewasa dan juga warga emas juga boleh mengalaminya dan ini bergantung kepada situasi tertentu.” 

Menurut Prof Dr Maniam yang juga bekas Presiden Persatuan Psikiatrik Kebangsaan (MPA), kebanyakan pesakit berat untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan atau menangguhkannya kerana banyak perkara. Mereka tidak sedar bahawa kemurungan adalah satu penyakit. 

“Stigma masyarakat yang mudah melabel pesakit ini sebagai orang gila, sewel atau sakit jiwa selain pengaruh budaya yang menganggap simptom kemurungan sebagai perbuatan sihir, buatan orang atau roh jahat menjadi antara faktor utama ramai enggan atau menangguhkan rawatan,” katanya. 

Tambahnya lagi, takut dengan rawatan psikiatrik juga antara penyebab utama rawatan ditangguh kerana bimbang ketagihan dadah; takut rawatan ECT walhal ia sangat selamat dan stabil serta memberikan kesan pulih yang cepat, bimbang dihantar ke hospital mental, mungkin kehilangan kerja dan dinafikan hak untuk mendapatkan perlindungan insuran dan sebagainya. 

Negara mempunyai ramai pengamal perubatan (GP) yang mampu merawat penyakit kemurungan selain 200 pakar psikiatri yang berdaftar di seluruh negara ini biarpun masih kurang kepakaran dalam rawatan psikoterapi. 

Kini ada lebih 200 pakar psikiatri di seluruh negara untuk menampung keperluan 28 juta penduduk sedangkan bagi jumlah penduduk sedemikian, negara memerlukan 1,200 tenaga kerja pakar. Sebagai langkah menangani masalah itu, Kementerian Kesihatan sedang berusaha melatih lebih ramai pengamal perubatan untuk menggunakan kaedah rawatan Psikoterapi yang lebih ringkas serta digabungkan dengan ubat-ubatan sesuai. 


INFO 
Simptom biasa kemurungan:
 

* Kurang tumpuan dan fokus 
* Kurang yakin pada diri dan hilang semangat 
* Sering rasa bersalah dan berasakan diri tidak berguna 
* Berasa masa depan kelam dan tidak menentu 
* Cenderung untuk mencederakan diri atau bunuh diri 
* Tidur yang terganggu 
* Hilang selera makan 

No comments:

Post a Comment

Blog Archive