Dot To Dot 3 Column

Wednesday 20 July 2011

Bahtera Nabi Noh

SELAMA tiga tahun, penduduk bandar lama Dordrecht, Belanda memerhatikan dengan penuh minat usaha seorang peniaga tempatan untuk merealisasikan impiannya membina semula bahtera Nabi Noh yang dipenuhi ribuan haiwan plastik - kini menjadi kenyataan.
Bahtera besar itu dibina di tebing Sungai Merwede, kira-kira 65 kilometer di selatan Amsterdam. Di sini, Johan Huibers, 52, bersama 50 pekerjanya memberi sentuhan akhir kepada bahtera kayu berkenaan. 
“Kami mahu beritahu semua orang mengenai kewujudan Tuhan. Kami mahu bina sesuatu yang dapat membantu menerangkan apa yang tertulis dalam kitab (Injil),” kata lelaki Belanda itu apabila ditanya mengapa dia melaksanakan projek pembinaan bahtera itu.

Pada awalnya Huiber merancang membuka bahtera berkenaan yang dipanggil ‘Muzium Injil’ kepada awam pada hujung tahun ini tetapi dia akan memberi peluang lawatan sehari untuk penduduk setempat hujung bulan ini.

Apa yang lebih mengagumkan ialah bahtera berkenaan dibina betul-betul mengikut ukuran lama seperti yang tercatat dalam Kitab Genesis, yang mengatakan bahtera itu sepanjang 300 hasta, 30 hasta tinggi dan 50 hasta lebar.

Jarak satu hasta ialah antara siku dan hujung hari atau lebih kurang setengah meter yang menjadikan bahtera berkenaan berukuran kira-kira 150 meter panjang, setinggi empat tingkat, 25 meter lebar dan beratnya mencecah 3,000 tan.

Huiber juga membina bumbung di atas bahtera berkenaan bagi melindungi 1,600 spesies haiwan plastik (yang dibuat mengikut saiz sebenar). Ia bertujuan memberi gambaran sebenar kisah bahtera Nabi Noh yang diperintahkan Tuhan untuk membina bahtera besar bagi menyelamatkan keluarga dan semua spesies haiwan sebelum bumi dilanda banjir besar.

“Saya gunakan kayu pain Sweden, sebab kami fikir ia paling hampir dengan ‘kayu resin’ seperti yang tercatat dalam Injil. Replika haiwan dibuat daripada plastik yang ditempah di Filipina,” katanya.

Bahtera itu dilengkapi kuarters bilik tidur, termasuk bilik tidur Nabi Noh, pentas, dewan, restoran dan kemudahan persidangan yang boleh menempatkan 1,500 orang pada satu masa. Malah, ia juga ada batu kisar untuk mengisar gandum yang digunakan bagi membuat roti. Selain itu dinding bahtera dilukis untuk menceritakan kisah bahtera berkenaan dan kisah lain yang tercatat dalam kitab Injil.

Tuesday 19 July 2011

Legasi bilionair Oleh Hazirah Che Sab

  
  • Foto
  • Foto
    Donald Trump dan anaknya, Ivanka. (RM5.9 bilion)
  • Foto
  • Foto
    Holly dan Richard Branson. (RM11.8 bilion)
  • Foto
Anak tauke besi, gedung fesyen dan hartanah kelompok terkaya dunia

MEREKA berbeza tapi berkongsi satu set persamaan yang meletakkan mereka di persada dunia dan menjadi subjek kepada lirikan iri jutaan wanita lain - rupa, gaya dan harta. Pakej lengkap impian ramai gadis lain tetapi cuma segelintir bertuah dilahirkan memiliki kejelitaan dan kekayaan yang tidak habis dimakan sehingga tujuh keturunan.
Mungkin pada asalnya kekayaan mereka bukan hasil titik peluh sendiri tetapi sumbangan dalam memastikan kemewahan itu berterusan secara tidak langsung membolehkan mereka menikmatinya.


Dalam senarai pewaris harta wanita terkaya dunia, Vanisha Mittal, menduduki tempat teratas carta dengan aset RM92.5 bilion. Anak hartawan India, Laksmi Mittal itu, mula diberi perhatian oleh media selepas bapanya memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM177 juta untuk majlis perkahwinannya pada tahun 2004.

Sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat keluli itu, Vanisha, memang berhak menikmati setiap sen yang masuk kantung poketnya tanpa perlu dilabelkan sebagai anak bapa yang cuma tahu menghabiskan wang.

Tempat kedua, berdasarkan nilai kekayaan bapanya adalah Marta Ortega PĂ©rez, 26. Gadis kelahiran Sepanyol itu bernilai RM92.2 bilion yang diperoleh daripada empayar peruncitan fesyen, Inditex, milik bapanya, Amancio Ortega Gaona. Malah, rangkaian gedung fesyen terkemuka itu termasuk Zara, Massimo Dutti, Oysho serta Zara Home dengan biloangan pekerjanya kira-kira 14,000 orang.

Bagaimanapun, kedua-duanya masih terlalu jauh untuk menandingi populariti yang diraih Ivanka Trump. Statusnya sebagai anak hartawan Amerika Syarikat, Donald Trump, saja sudah cukup meletakkannya dalam kelas tersendiri. 
Walaupun kekayaan yang bakal diwarisinya cuma RM5.9 bilion dan ketinggalan berbanding Vanisha, Ivanka, 28, namun dia kaya aset boleh berbangga dengan kejelitaan yang diwarisi daripada ibunya, Ivana. Malah dia lebih dulu mencipta nama sebagai model terkenal sebelum memutuskan untuk meneruskan legasi bapanya.

Memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi Eksekutif Pembangunan dan Perolehan Pertubuhan Trump, Ivanka juga salah seorang juri dalam rancangan realiti popular, The Apprentice yang terus menjadikannya dikenali dunia.

Seorang lagi yang menyerikan senarai itu dengan rupa dan hartanya ialah anak kesayangan hartawan kelahiran Britain, Holly Branson.

Walaupun berada di tangga ke-212 dengan aset bernilai RM11.8 bilion, Holly, 28, pada awalnya tidak berminat mengikut jejak langkah bapanya, Richard Branson, sebaliknya meneruskan pelajaran untuk menjadi doktor. Bagaimanapun, dia kemudian menukar fikiran dan menyertai empayar perniagaan Virgin yang banyak menyumbang kepada duit poketnya.

Anak hartawan Formula Satu, Bernard Ecclestone, juga tidak ingin dipandang cuma sebagai anak orang kaya sebaliknya mahu lebih serius mengembangkan empayar perniagaan sendiri.

Terikat pada kedudukan sama dengan Holly Branson, Tamara Ecclestone, 26, berusaha mengembangkan karier daripada model dan pengacara rancangan televisyen kepada ahli perniagaan yang memasarkan pakaian dalam dan produk rambut wanita.

Mewakili dunia Arab ialah Hind Hariri, anak kepada bekas Perdana Menteri Lubnan yang meninggal dunia dalam serangan bunuh diri, Rafik Hariri. Mewarisi kekayaan keluarga dengan aset bernilai RM4 bilion, Hind, 26, pernah tersenarai sebagai antara pewaris termuda oleh Forbes pada tahun 2008.

Mereka memang dianggap memiliki segala-galanya tetapi perlu diingat kerana kebebasan mereka cagaran. Pada ketika wanita lain bebas berada di mana-mana tanpa rasa bimbang diculik untuk mendapatkan tebusan, pewaris kekayaan itu perlu berfikir banyak kali untuk keluar daripada rumah tanpa diiringi segerombolan pengawal peribadi.

Jika setiap gerak-geri menjadi bahan perbualan dunia hatta cara berpakaian pun diambil kira, ada kalanya tidak mempunyai apa-apa mungkin lebih menyeronokkan.

INFO

Jejaka hartawan


TIDAK hanya diserikan dengan penampilan si hartawan jelita yang bijak tetapi dunia juga didiami ramai lagi hartawan muda yang rata-ratanya belum mencapai usia 40 tahun. Menariknya, ada di kalangan hartawan muda ini mengumpul kekayaan dengan mencipta sesuatu yang kemudian menjadi satu kepentingan dalam kehidupan orang ramai. Antara yang disenaraikan sebagai antara hartawan muda ialah: 

Mark Zuckerberg

Pada usia 26 tahun, pengasas Facebook itu dikatakan bernilai RM40 bilion. Zuckerberg memiliki 24 peratus saham laman web sosial itu. Dia kini memegang jawatan sebagai Ketua Eksekutif dan Presiden Facebook, yang diasaskan bersama tiga lagi rakan sekelasnya ketika belajar di Universiti Harvard pada tahun 2004.

Sergey Brin dan Larry Page

Brin, 35 dan Page, 36, berjumpa dalam satu program sains komputer di Universiti Stanford dan kini masing-masing bernilai RM35.6 bilion setiap seorang sebagai pengasas enjin pencarian terkenal, Google. Mereka keciciran daripada meneruskan pelajaran ke peringkat doktor falsafah pada tahun 1998 untuk memulakan Google daripada garaj seorang rakan. Google akhirnya menemui orang ramai pada tahun 2004.

Sheik Mansour Bin Zayed Al Nahayan

Berusia 39 tahun, Sheik Mansour, yang juga salah seorang kerabat diraja Emiriah Arab Bersatu, membelanjakan RM891 juta untuk memiliki kelab bola sepak Manchester City. Memiliki kekayaan bernilai RM14.5 bilion, Sheik Mansour pernah menyelamatkan bank Britain dengan pelaburan tunai sebanyak RM14.8 bilion.

Daniel Ziff

Bersama-sama dua abangnya, Dirk dan Robert, mereka melabur dalam hartanah, hutang korporat dan ekuiti menerusi Ziff Brothers Investement. Syarikat penerbitan yang diwarisi daripada bapa mereka berkembang menjadi konglomerat media dengan menerbitkan pelbagai majalah. Memiliki kekayaan bernilai RM10 bilion pada usia 37 tahun, Daniel dan dua abangnya menjual 95 peratus daripada perniagaan mereka kepada Forstmann Little pada harga RM4.1 bilion pada tahun 1994. Hari ini dana keluarga itu dikatakan bernilai lebih RM29.7 bilion.

Putera Albert von Thurn und Taxis

Pernah termasuk dalam senarai hartawan dunia pada usia lapan tahun, putera Jerman itu secara rasmi mewarisi kekayaannya pada Jun 2001, sempena hari jadinya yang ke-18. Memilik kekayaan dianggarkan bernilai RM6.2 bilion, aset Albert, 25, termasuk hartanah, lukisan, syarikat teknologi dan 30,000 hektar tanah di Jerman. 

Blog Archive