Dot To Dot 3 Column

Sunday 17 July 2011

Ujian kesan sakit jantung

SAYA berumur 29 tahun dan bekerja sebagai profesional di negara jiran. Kemusykilan saya ialah sejak dua tahun kebelakangan ini, saya mengalami sakit di bahagian dada. Ia seperti menekan dada saya dan rasa kesakitan itu boleh dirasai sehingga ke belakang badan.
Kadang-kadang rasa sakit itu menular sehingga ke leher dan bahagian bawah dagu. Namun, tangan kiri saya tiada rasa kebas seperti tanda orang yang mengalami sakit jantung. Lebih memusykilkan saya ialah rasa sakit itu hanya terjadi apabila saya duduk di atas kerusi di pejabat.

Kebelakangan ini pula, dalam akhir tahun lalu saya merasai kesakitan pada bahagian jantung apabila bangun daripada tidur pada tengah malam atau waktu pagi. Saya sudah menjalani ujian ECG dua kali iaitu pada dua tahun lalu dan yang terkini pada April lalu. Kedua-dua keputusan ECG menunjukkan jantung saya berada pada tahap yang normal. Untuk makluman doktor, saya sudah mengambil ujian darah pada Januari lalu. Keputusan menunjukkan kandungan kolesterol LDL 4.4 dan asid urik 646. Berat saya 88 kilogram dan ketinggian 1.65 meter. Saya berharap doktor boleh membantu dalam mengenal pasti apakah masalah sebenar yang saya hadapi, ubatan yang perlu diambil dan rawatan / ujian yang disyorkan.
Tarmizi
Saudara Tarmizi,
Pertamanya sakit dada seperti menekan yang saudara ceritakan adalah sakit yang `typical' atau yang biasanya dialami oleh pesakit jantung koronari. Sakit dada itu akan lebih teruk ketika bekerja keras atau bersenam.
Jadi apakah ujian yang boleh dijalankan untuk mengesan penyakit jantung koronari ini?
1.Elektrokardiogram (ECG) -
Ujian ini boleh menunjukkan tanda serangan jantung terutamanya apabila dijalankan ketika pesakit mengalami sakit dada. Sebaliknya jika dijalankan ketika tiada sakit, ia mungkin normal.
2. 'Exercise stress test' -
Ujian ini adalah ECG yang dijalankan ketika bersenam. Ia boleh menunjukkan tanda tertentu jika terdapat salur darah yang sempit.
3. Stress echocardiogram -
Ujian ini ialah ultrasound jantung atau echocardiogram yang dijalankan ketika bersenam atau diberi ubat untuk melajukan denyutan jantung. Dinding jantung yang dibekali darah oleh salur koronari yang sempit akan kelihatan tidak normal.
4. CT coronary angiogram -
Ini ialah ujian x-ray CT scan yang mengambil gambar salur darah koronari. Ini tidak membabitkan sebarang senaman dan boleh menunjukkan salur darah yang sempit jika ada.
Ujian-ujian di atas juga dipanggil sebagai ujian `non-invasive.' Pakar jantung akan mengesyorkan ujian yang terbaik bergantung kepada faktor pesakit itu. Jika ujian itu didapati positif, pesakit akan disyorkan untuk menjalani ujian angiogram koronari.
5. Pengimejan nuklear -
Ujian ini menggunakan radioaktif yang akan dikesan oleh mesin pengimbas. Ia boleh menunjukkan jika terdapat bahagian otot jantung yang tidak mendapat cukup pengaliran darah.
6. Angiogram koronari -
Ujian ini membabitkan `catheter' yang dilalukan melalui salur darah di tangan atau paha ke salur darah koronari di jantung. Dengan `dye' yang disuntik terus ke dalam salur darah itu, ujian ini dapat menunjukkan salur darah koronari yang sempit dengan tepat.
Ujian angiogram ini juga dipanggil ujian `gold standard' kerana ia dapat memberi ketepatan yang seratus peratus sama ada seseorang itu mempunyai penyakit salur darah koronari atau tidak. Kesimpulannya, terdapat pelbagai ujian yang boleh dijalankan untuk mengesan penyakit salur darah koronari ini.
Setiap ujian ini mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tertentu dan hanya ujian koronari angiogram yang dapat memberi seratus peratus ketepatan sama ada seseorang itu mengalami penyakit koronari atau tidak.
Untuk Tarmizi, saya syorkan dia menjalani ujian seperti `exercise stress test' dan jika ujian ini positif, beliau perlu jalani angiogram dan rawatan angioplasti iaitu membuka salur darah yang sempit dengan menggunakan belon dan stent. Saya akan bincang mengenai rawatan angioplasti di dalam rencana akan datang. Sebarang kemusykilan boleh emel: zulcardio@gmail.com

No comments:

Post a Comment

Blog Archive