Dot To Dot 3 Column

Friday 8 July 2011

Amanda mahu lebarkan sayap

PENYANYI muda ini cukup optimis dengan hala tuju hidupnya. Dia semakin yakin dengan apa yang dikehendakinya. Usianya yang bakal mencecah angka 20 pada Disember ini bukanlah penghalang buat Amanda Imani untuk mengorak langkah sebagai salah seorang penyanyi berjaya dalam arena muzik tempatan dan antarabangsa.

Seharian bersama anak gadis berbibir seksi itu, ternyata Amanda rupa-rupanya seorang yang aktif dengan pelbagai aktiviti sampingan bagi memenuhi masa santainya.

Jika mempunyai kelapangan, Amanda akan ke Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), Mont Kiara, Kuala Lumpur untuk melakukan aktiviti kegemarannya seperti bersenam di gimnasium dan bermain boling.

Ujar Amanda, lokasi kelab tersebut yang berdekatan dengan rumah memudahkan perjalanannya untuk ke situ kerana tidak perlu mengambil masa yang agak lama.

Lebih setahun memegang kad keahlian di situ, Amanda memberitahu, kelab tersebut mempunyai pelbagai kemudahan yang memberinya pilihan untuk melakukan aktiviti pilihannya.

“Lagi pun di sini, pengunjungnya tidak begitu ramai kerana ia hanya dibuka untuk pemegang kad keahlian sahaja.

“Jadi, ia lebih privasi untuk melakukan apa jua yang saya mahukan. Tidak perlu berebut-rebut. Selalunya, saya akan datang ke sini dua kali dalam sebulan pada sebelah pagi.

“Saya rasa selesa datang ke sini kerana ia agak jauh daripada hiruk-pikuk kota dan udaranya menyegarkan memandangkan terdapat banyak pokok yang menghijau di sekelilingnya,” katanya kepada S3.

Memulakan aktivitinya pada hari itu dengan bersenam di pusat gimnasium yang terdapat di situ, Amanda menjelaskan, pelbagai alat senaman disediakan buat ahli kelab tersebut.

Tambah Amanda, mesin treadmill lazimnya menjadi pilihannya untuk memulakan senaman.

“Saya datang ke gim bukanlah untuk angkat besi. Cuma nak berlari atau pun berbasikal. Kadang-kadang, kalau ada mood, barulah saya akan ‘main’ mesin senaman yang berat-berat.

“Lepas berpeluh-peluh dalam gim ini, saya akan berenang di kolam renang yang ada di sini.

“Kemudian, barulah saya pergi bersarapan di restoran yang berada di tingkat bawah kelab itu.

“Roti bom yang dijual di situ sangat lazat dan mengenyangkan.

“Jika banyak masa lagi, sesekali saya akan bermain boling pula,” tambah Amanda yang baru sahaja memenangi anugerah di Festival Muzik Pop Antarabangsa ke-20 yang berlangsung di Varna, Bulgaria pada 13 hingga 15 Mei lalu.

Di festival berkenaan, Amanda diumumkan sebagai Bakat Muda Terbaik, pengiktirafan daripada World Association of Festivals and Artists (WAFA) serta Lagu Asli Terbaik menerusi singlenya, Selamilah Cinta.

Dalam perkembangan lain, baru-baru ini, Amanda dicalonkan untuk merebut anugerah Vokal Terbaik Artis Baru Wanita pada Anugerah Planet Muzik 2011 yang bakal berlangsung di Max Pavilion, Singapura pada 15 Julai ini.

Oleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my
Gambar FAUZI BAHARUDIN

No comments:

Post a Comment

Blog Archive