Dot To Dot 3 Column

Wednesday 20 July 2011

Bahtera Nabi Noh

SELAMA tiga tahun, penduduk bandar lama Dordrecht, Belanda memerhatikan dengan penuh minat usaha seorang peniaga tempatan untuk merealisasikan impiannya membina semula bahtera Nabi Noh yang dipenuhi ribuan haiwan plastik - kini menjadi kenyataan.
Bahtera besar itu dibina di tebing Sungai Merwede, kira-kira 65 kilometer di selatan Amsterdam. Di sini, Johan Huibers, 52, bersama 50 pekerjanya memberi sentuhan akhir kepada bahtera kayu berkenaan. 
“Kami mahu beritahu semua orang mengenai kewujudan Tuhan. Kami mahu bina sesuatu yang dapat membantu menerangkan apa yang tertulis dalam kitab (Injil),” kata lelaki Belanda itu apabila ditanya mengapa dia melaksanakan projek pembinaan bahtera itu.

Pada awalnya Huiber merancang membuka bahtera berkenaan yang dipanggil ‘Muzium Injil’ kepada awam pada hujung tahun ini tetapi dia akan memberi peluang lawatan sehari untuk penduduk setempat hujung bulan ini.

Apa yang lebih mengagumkan ialah bahtera berkenaan dibina betul-betul mengikut ukuran lama seperti yang tercatat dalam Kitab Genesis, yang mengatakan bahtera itu sepanjang 300 hasta, 30 hasta tinggi dan 50 hasta lebar.

Jarak satu hasta ialah antara siku dan hujung hari atau lebih kurang setengah meter yang menjadikan bahtera berkenaan berukuran kira-kira 150 meter panjang, setinggi empat tingkat, 25 meter lebar dan beratnya mencecah 3,000 tan.

Huiber juga membina bumbung di atas bahtera berkenaan bagi melindungi 1,600 spesies haiwan plastik (yang dibuat mengikut saiz sebenar). Ia bertujuan memberi gambaran sebenar kisah bahtera Nabi Noh yang diperintahkan Tuhan untuk membina bahtera besar bagi menyelamatkan keluarga dan semua spesies haiwan sebelum bumi dilanda banjir besar.

“Saya gunakan kayu pain Sweden, sebab kami fikir ia paling hampir dengan ‘kayu resin’ seperti yang tercatat dalam Injil. Replika haiwan dibuat daripada plastik yang ditempah di Filipina,” katanya.

Bahtera itu dilengkapi kuarters bilik tidur, termasuk bilik tidur Nabi Noh, pentas, dewan, restoran dan kemudahan persidangan yang boleh menempatkan 1,500 orang pada satu masa. Malah, ia juga ada batu kisar untuk mengisar gandum yang digunakan bagi membuat roti. Selain itu dinding bahtera dilukis untuk menceritakan kisah bahtera berkenaan dan kisah lain yang tercatat dalam kitab Injil.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive