Dot To Dot 3 Column

Sunday 3 July 2011

Guardiola, Coldplay dan Armani Oleh FERZALFIE FAUZI

GUARDIOLA ketika bergelar pemainBarcelona.


PELBAGAI gelaran pelik diberikan kepada Pep Guardiola sebaik sahaja dia membawa Barcelona merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah 2011 dengan menewaskan Manchester United 3-1 pada hujung minggu lalu.
Ada yang menggelarnya sebagai penyajak, model fesyen hinggakan pemikir politik. Dia juga dianggap 'jurulatih remaja' tetapi sebaris dengan pengurus hebat United, Alex Ferguson.

Bayangkan, hanya dalam tempoh tiga tahun membimbing Barcelona, Guardiola telah memberi 10 kejuaraan buat kelab Catalan itu, termasuk dua gelaran Eropah dan tiga trofi La Liga.

Pada usia 38 tahun dan di musim pertama membimbing Barca, dia membawa kelab itu muncul juara treble - Liga Juara-Juara, Liga Sepanyol dan Piala Raja Sepanyol. Yang menjadi tanda tanya, siapa inspirasi Guardiola di sebalik kejayaan hebatnya itu.

Idolanya bukan legenda bola sepak, mahupun pakar psikologi atau ahli politik tetapi Chris Martin, penyanyi utama kumpulan alternatif rock terkemuka Britain, Coldplay.

Guardiola memuja muzik Coldplay dan menjadikan mereka sebagai inspirasi, malah lagu Viva La Vida menjadi motivasi jurulatih itu ketika merangkul gelaran treble pada 2009. Lagu itu turut mengiringnya ke gelanggang final Liga Juara-Juara di Wembley.

Minat Guardiola terhadap muzik membawanya ke konsert Coldplay di Arena Tertutup Catalan pada September 2008, di mana dia sempat bertukar pandangan dengan Martin.
Kem latihan Barca di Nou Camp juga sentiasa bingit dengan alunan muzik rock, bertujuan mencetuskan suasana luar biasa di kalangan pemain.

Guardiola bukan saja meminati muzik Coldplay, malah lagu Human dendangan The Killers turut menjadi motivasi di padang latihan. Bagi Guardiola, setiap lagu punya kisah tersendiri, contohnya I Am Yours nyanyian Jason Mraz adalah lagu temanya ketika meraikan kemenangan ke atas United pada final Liga Juara-Juara 2009.

Semua orang tahu, corak hantaran pendek merupakan senjata utama Barca, namun apa yang tidak diketahui umum, Guardiola mempunyai lagu bertuah untuk setiap perlawanan.

Begitupun, bukan muzik dan bola sahaja menjadi kegilaan pengurus muda itu, malah dia juga seorang yang gila fesyen dan mengikuti perkembangan fesyen terkini.
Ia bukan sesuatu yang menghairankan, kerana jurulatih ini memang sentiasa menjaga penampilan dan segak, baik ketika di tepi padang, mahupun luar permainan.

Sentuhan pereka terkenal Itali, Armani paling digemari Guardiola, cita rasa yang turut dikongsi pengurus Real Madrid, Jose Mourinho.

Malah, dia juga pernah menjadi model kepada pereka fesyen Antonio Miro dalam satu pertunjukan musim bunga di Barcelona.

Minat Guardiola terhadap fesyen adalah inspirasi dari isterinya, Christina Sierra, keluarga pemilik gedung pakaian terbesar di Sepanyol.

Kata Sierra, Guardiola telah mengunjungi gedung keluarganya sejak ber usia 18 tahun.
"Dia amat mementingkan imej dan suka berpakaian ranggi," ujar Sierra.

Selain Armani, Guardiola turut meminati jenama Dior, Prada, Dsquared2 dan Catalonia.
Tidak mustahil jika suatu hari nanti, nama Guardiola sendiri akan digunakan sebagai jenama pakaian. Dengan penampilan bergaya dan segak, selain reputasi hebat sebagai jurulatih, dia telah mencuri perhatian lensa kamera.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive