Dot To Dot 3 Column

Thursday 7 July 2011

BAU NAFAS CACATKAN KECANTIKAN

Komunikasi penting untuk menyempurnakan tugas seharian di pejabat. Anda perlu kerap berbincang dan berkerjasama dengan ketua serta rakan sejawatan untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar.

Sesetengah pekerjaan, seperti wartawan, pegawai perhubungan awam, pegawai pemasaran atau peguam, memerlukan anda sentiasa berurusan dengan orang ramai. Bagi menjaga imej diri dan syarikat, anda perlu memastikan penampilan sempurna dengan berdandan rapi dan memakai baju bersesuaian agar tampil hebat.

Anda mungkin tergolong wanita bertuah kerana memiliki segala-galanya— bijak, cantik dan pandai bergaya. Akan tetapi, segala-galanya musnah apabila anda bersuara. Masalah nafas berbau bukan sahaja mencacatkan penampilan anda; ia membuatkan anda hilang keyakinan diri.

Tidak seperti masalah kesihatan atau kecantikan lain, nafas berbau ibarat 'musuh' dalam selimut, merosakkan imej anda secara senyap. Memang sukar mengesan bau nafas sendiri. Anda hanya menyedari 'kecacatan' penampilan apabila dijauhi teman-teman atau menjadi bahan gosip. Ketika ini pakaian mahal atau solekan menawan tidak lagi bernilai.

PUNCA- BAU NAFAS

Bakteria

Bakteria antara punca utama bau nafas. Masih ingat lagi pesanan ibu bapa dan guru sewaktu kecil agar kita menggosok gigi sebelum tidur? Menurut pakar pergigian, bakteria mulut, anaerobic, punca utama masalah.

Ia hidup dan membiak di dalam mulut dengan memakan sisa protein makanan yang melekat di celah gigi dan gusi. Bagi memudahkan penghadaman, makhluk halus ini melarutkan sisa protein dengan gas volatile sulfur compounds (VSCs). Bau gas ini lebih busuk daripada telur tembelang atau perut ikan.

Walaupun cepat membiak, bakteria ini juga mudah mati apabila terdedah kepada oksigen. Justeru, ia gemar bersembunyi dan membuat sarang di tempat terselindung terutamanya di bawah lidah. Sarang dibina berlapis-lapis daripada lendir dan cecair sisa makanan. Ketika proses ini, gas, VSCs dilepaskan berterusan, membuatkan nafas anda berbau.

Mulut kering

Air liur penting untuk mengawal kesegaran nafas. Bagaimanapun, pengeluaran air liur berkurangan ketika tidur, menyebabkan mulut kering dan nafas berbau setiap pagi. Bagaimanapun, jika mulut kering pada waktu siang, ia petanda ada penyakit atau kesan sampingan kandungan dadah di dalam ubat.

Titisan ubat hidung

Lendir mudah terbentuk kesan penggunaan ubat titis di dalam hidung untuk mengubati selesema, alahan atau penyakit lain seperti resdung. Lendir ini terkumpul di dalam rongga hidung menjadi tempat terbaik rongga bersarang. Sebaik-baiknya gunakan ubat sembur pemecah lendir untuk mengurang / mengatasi masalah nafas berbau

Diet

Biasanya ketika mengunyah makanan, pengeluaran air liur meningkat. Jika berdiet, anda kurang makan bererti air liur juga kurang dirembeskan menyebabkan bau nafas.

Pengeluaran hormon

Biasanya wanita menghadapi perubahan hormon beberapa hari sebelum haid. Ia bukan sahaja menyebabkan mood berubah, tetapi juga menjejaskan keadaan bau nafas kerana ketika ini darah mengandungi protein berlebihan dan sangat disukai bakteria anaerobik.

Jenis makanan

Makan jangan sebarang makan kerana sesetengah jenis makanan menyebabkan nafas berbau. Antaranya, makanan yang mengandungi sulfur seperti bawang putih, kubis, brokoli dan bawang. Gas sulfur dalam makanan diserap ke dalam darah melalui perut kemudian ke paru-paru sebelum dilepaskan menerusi pernafasan.

Cara mengesan masalah

Mungkin anda pernah cuba mengukur bau nafas sendiri dengan menekup kedua-dua belah tapak tangan pada mulut dan menghembus nafas, aieupun mencium benang 9oss selepas mencuci celah gigi.

Cara ini tidak berkesan kerana walaupun anda dapat mengesan bau busuk tetapi tidak tahu sama ada ia teruk atau sedikit saja. Cara terbaik ialah menggunakan alat khas pengukur bau nafas. Ia berfungsi dengan cara mengukur jumlah pengeluaran gas sulfur melalui pernafasan hidung atau mulut. la cepat dan tepat. Maklumat dapat diperolehi dalam tempoh seminit.

Biasanya, pakar pergigian menggunakan alat ini untuk mengukur seteruk mana masalah nafas anda. Tiada bahan kimia atau ubat sampingan diperlukan ketika menggunakan alat ini.

Selain itu, cara paling mudah ialah meminta pandangan ikhlas orang paling rapat dengan anda mengenai bau nafas. Hembus nafas dan biar mereka hidu, jika busuk katakan busuk, bukannya OK atau wangi kerana bimbang anda kecil hati.

Cara mengatasi masalah

Selain menggosok gigi, gunakan alat khas untuk mencuci lidah terutama bahagian bawah lidah bagi membersihkan sisa makanan dan cecair yang terkumpul dan membantu pembiakan bakteria anaerobik. Selain itu, anda boleh menggunakan belakang camca plastik untuk membersihkan lidah.

Di Barat, pakar pergigian giat berkempen, menggalakkan masyarakat menjadikan amalan menggosok lidah sama seperti mencuci gigi. Menurut Penasihat Pengguna Pergigian bagi Persatuan Pergigian Amerika Syarikat (ADA), Dr Richard H Price, kajian membuktikan 50 peratus masalah nafas berbau dapat diatasi dengan menggosok lidah.

Melakukan sesuatu yang boleh menggalakkan pengaliran air liur juga boleh mengatasi masalah ini. Misalnya, mengunyah buah-buahan rangup seperti epal dapat 'menggosok' lidah atau minum air kosong untuk membersih sisa makanan dan mengusir bakteria anaerobik.

Anda juga berkumur dengan cecair khas pencuci mulut yang mengandungi klorin dioksida kerana ia berkesan membunuh/mengawal pembiakan bakteria. Akan tetapi, pastikan gigi dan lidah anda dicuci bersih sebelum berkumur dengan cecair ini.

Jika masalah ini masih tidak boleh diatasi, dapatkan rawatan pakar. Doktor akan memastikan tahap masalah anda dan menentukan jenis rawatan sesuai. Seandainya anda ragu-ragu membeli ubat atau bahan pencuci mulut, rujuk pakar atau pembantu farmasi. Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Usah rosakkan hubungan sosial anda kerana bau nafas.

JELITA, APRIL 1997, M/S 66-67

No comments:

Post a Comment

Blog Archive