Dot To Dot 3 Column

Monday 18 July 2011

Norlina bersenam, jaga makan

SEMUANYA bermula apabila Norlina Non disahkan mengidap barah ovari pada 2009 hingga terpaksa menjalani pembedahan segera bagi mengelakkan keadaannya makin buruk.
Ibu kepada dua cahaya mata itu sekali lagi ke bilik pembedahan pada Disember 2010 dan perasaan sedih, kecewa dan marah mula menghimpitnya hingga hampir berputus asa dan berserah dengan apa yang berlaku. 
Atas sokongan padu keluarga, Norlina berusaha bangkit dan ujian yang melandanya itu dianggap ‘jam loceng’ yang mengejutkannya daripada lena selama ini.

“Sebelum ini, saya langsung tidak menjaga pemakanan dan tidak kisah dengan apa yang berlaku pada tubuh. Sebagai suri rumah, saya lebih memberi tumpuan kepada
keluarga berbanding diri sendiri. 

“Selepas pembedahan kedua, saya bagaikan tersedar bahawa selama ini saya mengabaikan kesihatan diri dan nekad untuk mengubah gaya hidup yang lebih sihat.

“Sejurus pulih, saya mula berhati-hati dengan apa yang saya makan. Selain itu, secara perlahan-lahan saya terbabit dalam aktiviti sukan dan menyertai kelas senaman,” katanya.

Penyertaannya dalam program kecergasan Roasters Health Watch 2011 (RHW), minggu lalu, nyata memberi peluang untuknya meneruskan gaya hidup sihat di bawah bimbingan pelatih kecergasan bertauliah.

“Sebelum ini saya cuma melakukan senaman biasa
di sekitar kawasan perumahan dan menyertai kelas senam�robik seminggu sekali.
Sejak menyertai RHW, saya mula faham kepentingan bersenam secara betul dan sesuai untuk tubuh saya.

“Selain itu, RHW banyak memberi motivasi untuk saya terus bersenam dan pada masa sama mendisiplinkan saya agar tidak malas melakukannya,” ujar Norlina.

Menariknya, susuk tubuh wanita berusia 37 tahun ini turut menampakkan perubahan dan Norlina juga mula berasa tubuhnya makin sihat dan segar.

“Paling seronok apabila berat badan saya susut tujuh kilogram dan saya kini rasa lebih bertenaga melakukan aktiviti harian,” katanya.

Biarpun program RHW 2011 sudah melabuhkan tirainya, Norlina berazam meneruskan aktiviti senaman di gimnasium.

Semangatnya semakin berkobar-kobar apabila suami, Mior Azmi Mior Md Isa yang turut menyertai RHW 2001 aktif bermain futsal. Ia membuatkan Norlina berhasrat mewujudkan kelab badminton wanita di kalangan rakan dan jirannya.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive