Dot To Dot 3 Column

Sunday 3 July 2011

Siapa lebih bertuah

Seorang teman mengeluh, nasibnya tidak sebaik beberapa teman lain dari segi material. Maklumlah kos kehidupan makin meningkat dewasa ini jadi keluhannya itu tidaklah menghairankan LV sangat. 

Mula-mula dia membebel soal sumber protein yang semakin mahal. Katanya, dulu-dulu bolehlah kalau tak ada duit makan saja nasi berlaukkan telur dengan kicap tapi telur zaman sekarang bukannya murah macam dulu. 

Jadi kalau buat telur dadar dia akan pastikan hasilnya selebar belanga biarpun senipis kulit bawang. Kalau dulu buat nasi goreng letak telur, sekarang ini cukup sebiji saja dipecahkan ke dalam tu. 

Daging, memang dah lama dia sekeluarga jarang makan kerana mahalnya mengalahkan ayam. Ikan pun, cuma spesies tertentu saja dia rajin beli sebab sesetengahnya macam kerapu, merah, bawal dan tenggiri mahal macam nak mati. 

Ikan bilis? Siapa kata murah! – katanya dengan mata buntang bila LV mencuit dengan niat hendak bergurau. 

Daripada bab makanan dia melarat pula ke bab pakaian. Katanya daripada baju anak-anak sampailah pakaian kerja, dia membeli di pasar raya harga patut saja. Kasut pun begitu malah sempat pula dia bergurau, fesyen pakaian, kasut dan beg tangan yang dijual di pasar raya harga patut dan pasar malam sekarang bijak juga mengikut trend semasa biarpun material yang digunakan jauh lebih murah. 

Seterusnya dia masuk bab kisah bercuti anak-beranak. Katanya, dia dan suami suka membawa anak-anak ke KLCC pada hari minggu jadi mereka boleh mandi-manda di sana sambil mencuci mata. Lagipun lokasinya tidak terlalu jauh jadi minyak kereta dapat jimat, tinggal sediakan duit bayar parking sahaja. Kalau nak pergi sampai ke Port Dickson atau Genting Highland kena fikir soal makan dan penginapan lagi, membazir tu. 

“Nasib aku ni tak macam Tijah,” kata teman ini di penghujung keluhan. 

Serta-merta LV terbayangkan Tijah yang bersuamikan orang kaya. Tinggal di perumahan elit, naik kereta besar dan sering bercuti ke luar negara. Cuma tak tahu mana silapnya, dia masih tidak diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata sampai ke hari ini. 

“Betullah nasib engkau tak sebaik Tijah dari segi harta duniawi kan. Tapi bila balik kerja, ada anak-anak yang menanti dan rumah riuh dengan gelak tawa mereka. Suami pula sentiasa di rumah selepas habis waktu pejabat. Hari tu masa datang rumah aku nampak dia siap basuh baju lagi. 

“Tak cukup bertuah ke tu kalau nak dibandingkan dengan Tijah yang makan sedap-sedap tapi tak boleh banyak takut nanti gemuk dan pakai cantik-cantik tapi selalu keluar seorang diri atau berdua sahaja? Kadang-kadang memang dia keluar bercuti jauh-jauh tapi dalam kebanyakan waktu dia hidup kesunyian di rumah tanpa anak,” bidas LV. 

Teman tadi terdiam, lalu menongkat dagu. Agaknya dia berfikir hendak masak apa malam ini agaknya.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive