Dot To Dot 3 Column

Sunday 17 July 2011

Ketakutan ibu muda Oleh NORAINON OTHMAN

LATIHAN... ibu muda perlu belajar cara menjaga anak pertama.
LATIHAN... ibu muda perlu belajar cara menjaga anak pertama.
MENANTI kehadiran orang baru yang juga penyeri rumah tangga memberi seribu satu macam rasa. Pelbagai persoalan bermain di fikiran, antaranya, sebagai ibu dan bapa muda, mampukah menjaga si kecil setiap detik dengan sepenuh perhatian dan kasih sayang?
Bagi mempersiapkan diri sebagai bakal ibu, ilmu keibubapaan harus dipelajari sebanyak mungkin. Selain rasa bahagia dan bangga bergelar ibu, perasaan bimbang pasti sukar ditepis kerana tidak dapat membayangkan pengalaman yang akan ditempuh sepanjang membesarkan permata hati.

Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Sime Darby, Dr Khoo Phaik Choo berkata, pengalaman itu lebih dirasai ibu muda yang bukan saja terpaksa mengimbangkan antara perubahan emosi dengan perubahan hormon, malah perlu mengetahui serta berdasarkan gerak hati apa yang terbaik dalam soal menjaga bayi baru lahir.
“Kebimbangan terbesar atau paling lumrah di kalangan ibu yang mempunyai bayi baru lahir ialah persoalan sama ada anak berkenaan normal atau sebaliknya. Menangis sebaik dilahirkan menandakan bayi berkenaan normal,” katanya.

Bayi juga perlu menjalani beberapa ujian lain seperti mengukur kadar denyut jantung, daya pernafasan, bentuk otot, tindak balas kerengsaan dan warna kulit berdasarkan markah Apgar bagi menentukan sama ada dia normal atau sebaliknya. Markah lapan hingga 10 ialah normal dan ini menandakan bayi baru lahir itu dalam keadaan sihat.

“Kadangkala ibu terkejut melihat keadaan bayi tidak seperti yang biasa dilihat dalam iklan atau pertandingan bayi comel iaitu berkulit mulus dan mungil.
“Berbulan di dalam rahim ibu dan tiba masa untuk melihat dunia menyebabkan kulit bayi berkedut dan mata sembab. Bentuk kepala bayi yang sedikit lonjong atau kelihatan tidak sempurna juga perkara biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam bengkel media bertajuk ‘Menjawab Kebimbangan Ibu Terhadap Persoalan Bayi Baru Lahir’ anjuran jenama lampin bayi, Pet Pet, baru-baru ini.

Menurutnya, pemakanan iaitu penyusuan bayi baru lahir antara aspek yang perlu dititikberatkan. Persoalan sering diajukan ibu muda ialah sama ada bayinya mendapat susu ibu mencukupi dan antara susu ibu dengan susu formula, yang mana lebih baik?
Susu ibu ialah terbaik untuk bayi. Untuk memastikan bayi baru lahir mendapat susu ibu secukupnya, pemberian susu ibu hendaklah dimulakan secepat mungkin selepas kelahiran.

Sebaik-baiknya ibu menyusukan bayi dengan susu badan sekurang-kurangnya lapan hingga 12 kali setiap 24 jam. Kelebihan susu ibu ialah ia mudah dicerna, membantu melindungi bayi daripada penyakit dan jangkitan, meningkatkan tumbesaran dan tahap IQ, mengurangkan risiko mendapat kanser payudara kepada si ibu serta mempercepatkan mengembalikan bentuk badan asal.

Apabila anak baru lahir sering buang air kecil dan air besar, ibu mula bimbang. Adakah ia normal?
Tabiat bayi baru lahir ini bukan perkara indah untuk dibincangkan.

Namun air kencing dan najis bayi baru lahir sering menyebabkan ibu baru berasa cemas dan gelisah. Kekerapan dan konsisten air kencing dan najis berbeza-beza antara setiap bayi dan hal ini bergantung kepada makanan diberi kepadanya.

“Pada hari-hari pertama selepas bayi dilahirkan, tunggul tali pusat perlu dijaga dengan baik. Pastikan keadaannya tetap bersih dan kering bagi mengelak terkena jangkitan.

“Memilih lampin bayi baru lahir yang mempunyai rekaan keselesaan khas yang dicipta untuk melindungi pusat bayi yang belum sembuh sangat penting,” katanya.

Penjagaan kulit bayi baru lahir topik yang sering diberi perhatian. Ibu muda sering tertanya-tanya apakah itu ruam atau benjol pada kulit bayi baru lahir?
Ramai ibu tidak sedar, kulit bayi baru lahir mudah terjejas dan nipis serta cenderung kepada kerengsaan kulit seperti ruam lampin, keruping buaian, bahkan jangkitan tali pusat dalam bulan awal selepas lahir. Untuk memastikan kulitnya lebih licin dan halus, elak menggunakan sabun atau pembersih yang kuat.

Bayi baru lahir yang menangis satu perkara lumrah yang paling merisaukan ibu. Tiada cara untuk merungkai masalah ini kerana bayi menangis untuk menyampaikan rasa lapar atau ketidakselesaan disebabkan oleh kekotoran lampin, kesakitan, ketakutan dan macam-macam lagi.

Cabaran paling rumit dihadapi ibu ialah menafsirkan tangisan bayi. Jika bayi baru lahir menangis dan fikiran anda buntu tidak tahu apa perlu dibuat, anda dinasihatkan bertenang dan cuba amalkan petua seperti dakap, gosok atau urut bayi, pegang bayi ke dada dan alihkan perhatiannya.

Perjalanan seorang ibu bukan sekadar menjaga bayi baru lahir sepanjang masa. Ia jadi memenatkan jika ibu tidak mendapat rehat mencukupi untuk pemulihan sepenuhnya selepas sakit bersalin.

Oleh itu, ibu hendaklah memanjakan diri mereka bagaikan bayi dengan mengamalkan tabiat sihat, memakai pakaian selesa, mengekalkan kemesraan dengan pasangan dan mendapat istirahat secukupnya dalam tempoh ini.

Dalam berkongsi pengalaman menjaga bayi baru lahir, Pet Pet turut dapat mengundang pelakon, pengacara, usahawan, Dynas Mokhtar dan bayinya, Khyra Khalyssa.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive