Dot To Dot 3 Column

Saturday 25 June 2011

Pneumokokus: Pembunuh Utama Kanak-Kanak

SEJAUH mana anda tahu mengenai bakteria Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus?
Bakteria ini menyebabkan penyakit pneumokokal yang merangkumi otitis media (jangkitan telinga), pneumonia (radang paru-paru), bakteremia (kuman dalam darah) dan meningitis (radang selaput otak) di kalangan kanak-kanak dan warga emas. Istilah penyakit pneumokokal (PnD) juga mungkin tidak begitu menakutkan bagi ibu bapa berbanding tetanus, hepatitis, polio, atau demam campak.
Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa jangkitan bakteria ini merupakan punca utama kematian kanak-kanak, sama ada di bawah umur lima tahun dan juga yang melebihi umur lima tahun. Perangkaan punca kematian kanak-kanak akibat penyakit yang boleh dielakkan melalui vaksinasi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2003 menunjukkan 1.61 juta kanak-kanak meninggal dunia akibat PnD.
Dari jumlah itu, 716,000 kanak-kanak yang meninggal dunia berumur lima tahun ke bawah sementara 896,000 lagi berumur lima tahun ke atas. Jumlah kematian kini juga dianggarkan mencecah satu juta setiap tahun di kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah. Ini bermakna kira-kira 112 orang kanak-kanak akan menemui ajal akibat PnD setiap jam atau 2,700 kematian setiap hari di seluruh dunia.
* Ancaman
Pakar Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Pusat Perubatan Selangor, Datuk Dr. Zulkifli Ismail menjelaskan, kumpulan paling berisiko mendapat PnD adalah bayi di bawah umur 24 bulan terutamanya kerana PnD sukar dikesan di kalangan bayi.
“Dianggarkan kira-kira 60 peratus kanak-kanak tadika dan prasekolah juga menjadi pembawa bakteria pneumokokus yang boleh disebarkan kepada kanak-kanak lain dalam pergaulan harian di tadika atau taman asuhan.
“PnD juga boleh menjadi teruk dengan pantas dan kelewatan dalam mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kerosakan kekal pada otak atau organ utama lain,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan bahawa mereka yang mempunyai sistem imuniti lemah seperti pesakit talasemia, anemia sel sabit atau dijangkiti HIV juga mempunyai risiko lebih tinggi menghidap PnD.
Dr. Zulkifli memaklumkan bahawa jangkitan pneumokokus mungkin berlaku sebagai jangkitan sekunder (kedua) selepas jangkitan virus.
“Bakteria ini boleh masuk melalui salur pernafasan dan seterusnya menyebabkan jangkitan di beberapa bahagian badan termasuk telinga, darah, paru-paru dan otak.
“Ini boleh menyebabkan jangkitan teruk (invasif) seperti meningitis, bakteremia atau pneumonia atau hanya jangkitan ringan seperti sinusitis dan otitis media,” jelasnya.
Menurutnya lagi, otitis media (jangkitan telinga) paling banyak berlaku di kalangan pesakit tetapi paling kurang berbahaya sementara meningitis yang jarang berlaku adalah amat berbahaya dan boleh membawa maut.
* Setempat
Pakar Runding Pediatrik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan, Dr. Mohd. Suhaimi Ab. Wahab menyatakan tidak banyak maklumat mengenai bilangan kes PnD di Malaysia kerana penyakit ini tidak tergolong dalam jenis penyakit perlu dimaklumkan kepada pihak berkuasa kesihatan.
“Ujian mikrobiologi cuma dilakukan dalam sebilangan kecil kes PnD sementara amalan pengambilan cecair tulang belakang (CSF) untuk diuji dalam kes meningitis juga amat rendah.
“Namun, kajian tempatan dari 1995 hingga 1996 berjaya merekodkan 273 kes jangkitan pneumokokus dari enam hospital, dengan 31.1 peratus daripada pesakit yang dijangkiti berusia di bawah umur 10 tahun,” katanya.
Menurut beliau, 10 peratus (2.7 juta) daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia berumur lima tahun dan mengikut perangkaan kasar, mungkin terdapat lebih daripada 200 kes meningitis pneumokokal atau 20,000 kes pneumonia pneumokokal di kalangan kanak-kanak berlaku setiap tahun di negara ini.
Dalam satu kajian di Sabah, 70.3 peratus kes meningitis yang disahkan berpunca daripada jangkitan pneumokokus dicatatkan berlaku kepada bayi yang berumur 36 bulan ke bawah, dengan bayi seawal usia dua bulan juga dijangkiti bakteria tersebut.
Dalam pada itu, Dr. Mohd. Suhaimi juga membangkitkan isu peningkatan rintangan antibiotik oleh bakteria pneumokokus hasil beberapa kajian sejak 1984 lagi.
“Kajian dari 1984 hingga 1985 menunjukkan hanya empat peratus kes rintangan pneumokokus terhadap antibiotik penisilin.
“Satu lagi kajian dari 1996 hingga 1997 menunjukkan peratusan ini meningkat kepada 10 peratus sementara kajian berasingan dari 1999 hingga 2004 menunjukkan rintangan terhadap penisilin telah meningkat kepada 62 peratus,” jelasnya.
Beliau mengaitkan peningkatan rintangan pneumokokus terhadap penisilin ini akibat pemberian antibiotik secara berleluasa dan tidak mengikut arahan pengambilan antibiotik.
Pengetahuan mengenai PnD di Malaysia secara umumnya masih rendah dengan Tinjauan Kesedaran Penyakit Pneumokokal Global 2006 hanya menunjukkan 31 peratus ibu bapa di negara ini mengetahui mengenai penyakit tersebut.
Tinjauan itu turut mendapati hanya 38 peratus ibu bapa di Malaysia mengetahui adanya vaksin untuk PnD tetapi peratusan ini dijangka telah meningkat hasil pendedahan melalui media.
* Vaksin
Vaksin berkonjugat pneumokokus tiba ke pasaran negara ini pada bulan Oktober 2005 tetapi telah digunakan di Amerika Syarikat sejak tahun 2000 lagi. WHO menamakan penyakit pneumokokal sebagai punca nombor satu kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan menyarankan vaksin berkonjugat pneumokokus perlu diberi keutamaan untuk dimasukkan ke dalam program imunisasi kanak-kanak.
Dr. Zulkifli menjelaskan, setiap kanak-kanak akan memerlukan tiga atau empat dos vaksin, mengikut pendapat doktor dan umur anak, bagi mendapat perlindungan seumur hidup daripada PnD.
“Vaksin ini belum dimasukkan dalam jadual imunisasi wajib kebangsaan tetapi sepatutnya terdapat di setiap hospital swasta dan sesetengah klinik.
“Namun para doktor perlu memaklumkan kepada ibu bapa tentang penyakit dan vaksin ini memandangkan masih ramai yang tidak tahu mengenainya,” katanya.
Beliau juga mengingatkan ibu bapa untuk bertanya kepada doktor tentang penyakit dan vaksin tersebut bagi melindungi bayi yang baru lahir.
Tambah beliau, pengambilan vaksin ini juga dapat memberikan imuniti berkelompok iaitu perlindungan kepada individu lain yang tidak menerima vaksin dengan menyekat penyebaran bakteria pneumokokus dalam pergaulan harian.
“Janganlah kita menghukum mereka yang memilih untuk tidak mengambil vaksin ini.
“Bagaimanapun, semua pihak, tidak kira doktor atau ibu bapa, diminta jangan memikirkan PnD dari segi peratusan sahaja kerana ianya bukan lagi peratusan jika anak anda sendiri yang menjadi mangsa,” tegas Dr. Zulkifli.

Rencana dari Mingguan Malaysia: 27 April 2008
Oleh NURUL ANUAR KARI

No comments:

Post a Comment

Blog Archive